Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan bertemu pemimpin pertubuhan belia bagi membincangkan dasar had umur belia minggu depan.

Menurutnya, pertemuan bertujuan mencari titik penyelesaian bagi pelbagai isu belia termasuk berkaitan akta berhubung had umur belia.

"Saya sudah mengadakan pertemuan dengan Majlis Belia Malaysia (MBM) dan minggu depan saya akan berjumpa juga dengan pemimpin pertubuhan belia lain.

"Ini kerana saya mendapati setiap pertubuhan belia itu ada masalah tersendiri yang boleh kita cari jalan bagaimana untuk menemui titik penyelesaian supaya akta ini dapat dilaksanakan.

"Pertemuan itu juga dapat merungkai permasalahan lain membabitkan pertubuhan belia," katanya selepas hadir merasmikan Sambutan Hari Kesukarelawan Belia Malaysia 2021 Peringkat Kebangsaan di Hotel Casuarina Meru di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas perkembangan terkini berhubung perkara pelaksanaan had usia kepemimpinan belia daripada 40 kepada 30 tahun.

DATUK Seri Ahmad Faizal Azumu
DATUK Seri Ahmad Faizal Azumu

Terdahulu, media melaporkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mencari satu resolusi terbaik bagi mencapai situasi menang-menang berhubung isu pelaksanaan had usia kepemimpinan belia daripada 40 kepada 30 tahun.

Ahmad Faizal dilaporkan berkata, pihaknya akan meneruskan perundingan dengan pertubuhan belia di seluruh negara dalam usaha memberikan kefahaman kepada mereka.

Pada 17 November lalu, Ahmad Faizal mengumumkan di Parlimen, pelaksanaan had umur individu untuk memegang jawatan dalam persatuan belia diturunkan daripada 40 kepada 30 tahun bermula 1 Januari tahun depan.

Susulan pengumuman itu, beberapa pihak terutama pertubuhan dan gerakan belia serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melahirkan bantahan terhadap penurunan had umur berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 2:18 PM