AYAM kampung segar yang siap dibungkus yang dijual dengan harga RM16 seekor mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai di Muar. FOTO Essa Abu Yamin
AYAM kampung segar yang siap dibungkus yang dijual dengan harga RM16 seekor mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai di Muar. FOTO Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin


Muar: Harga ayam segar naik mendadak di banyak tempat sejak beberapa minggu lalu tidak menghalang seorang peniaga ayam kampung segar di Kampung Sungai Belukang, Jalan Batu Pahat-Muar di sini, untuk menjual bahan mentah itu dengan harga murah.

Baharuddin Mohamed, 45, membuka gerai di hadapan rumahnya itu berkata, dia menjual ayam kampung segar itu pada harga RM16 seekor dan menawarkan promosi untuk tiga ekor pada harga RM50 sahaja.

"Jika dibandingkan harga di pasaran, seekor ayam kampung segar boleh mencapai harga sehingga RM25 seekor, tapi di gerai saya menjual dengan harga yang begitu berpatutan.

"Langkah jualan murah ayam kampung segar berkenaan adalah untuk meringankan beban pengguna dan penduduk setempat yang memerlukan bahan mentah berkenaan.

"Ketika ini harga barang mentah dan keperluan lain agak tinggi, ditambah pula ramai pengguna yang terjejas pendapatannya kesan daripada situasi pendemik yang berlaku ketika ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Baharuddin berkata, bekalan ayam berkenaan adalah daripada ladang ayam yang dia sendiri usahakan menjadikan dia mengambil inisiatif untuk menjual ayam segar berkenaan secara terus dengan kadar harga yang lebih murah.

"Sebanyak 3,000 ekor ayam kampung segar habis terjual pada hari semalam dalam tempoh lebih kurang empat hingga lima jam beroperasi.

"Saya hanya berniaga di kawasan kampung dan pasaran untuk penduduk kampung yang berdekatan serta mempromosikan di laman media sosial.

"Tidak sangka pula perniagaan ayam kampung segar yang saya jual dengan harga murah menjadi tular di laman media sosial sejak semalam sehingga hari ini," katanya.

Katanya, sejak tular, ada pelanggan yang awal pagi sudah datang ke gerai untuk mendapatkan ayam kampung segar berkenaan dan ada juga orang ramai daripada jauh yang menghubunginya daripada kawasan Johor Bahru dan Melaka.

"Jualan ayam kampung segar berkenaan sudah lama saya lakukan serta beberapa lagi jualan sayur seperti cili, terung dan buah tembikai dan tidak tertumpu pada satu-satu masa sahaja.

"Jualan ayam kampung segar ini saya akan teruskan pada masa akan datang di setiap hujung minggu serta bergantung pada bekalan ayam yang saya usahakan sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 1:33 PM