DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Pembukaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, Jajaran Seksyen Serian WP03 di Serian. FOTO AIZUDDIN SAAD
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Pembukaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, Jajaran Seksyen Serian WP03 di Serian. FOTO AIZUDDIN SAAD
Nurul Hidayah Bahaudin


Serian: Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dilihat sebagai antara pemangkin utama ekonomi kepada penduduk setempat dengan kehadiran orang ramai yang berkunjung ke daerah ini.

Seorang peniaga, Diana Lai, 49, berkata, terdapat perbezaan yang ketara dari segi jumlah orang ramai yang datang ke daerah ini selepas pembinaan lebuh raya berkenaan.

"Dulu tidak begitu ramai orang dari daerah lain datang singgah ke sini (Serian) mungkin disebabkan keadaan jalan yang sesak memandangkan hanya ada dua laluan jalan raya.

"Tetapi sekarang kita lihat, jumlah orang ramai datang singgah ke Serian semakin bertambah kerana keadaan jalan raya yang bagus serta aliran trafik lancar.

"Keadaan ini (jumlah kunjungan yang tinggi) pastinya membantu meningkatkan pendapatan peniaga seperti kami," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Seorang lagi penduduk Serian, Jihan Fariha, 49, berkata, keadaan jalan raya yang selesa membolehkannya lebih kerap untuk berulang-alik dari Serian ke Kuching.

"Sebelum ini, perjalanan saya dari Serian ke Kuching mengambil masa lebih satu jam kerana keadaan jalan raya yang sesak selain ada laluan yang berlubang.

"Namun sekarang, perjalanan ke Kuching hanya mengambil masa kira-kira 45 minit kerana keadaan jalan sudah baik dan laluan juga bertambah," katanya.

Sementara itu, seorang suri rumah, Yurika Jita, 22, berkata, pembinaan lebuh raya itu membolehkan dia lebih kerap untuk ke pusat bandar Serian dari tempat tinggalnya di Kampung Mongkos, di sini.

"Saya jarang keluar ke pusat bandar kerana perjalanan ke sini agak jauh dari rumah iaitu lebih satu jam. Sekarang masa perjalanan lebih singkat iaitu kira-kira 45 minit sahaja.

"Saya harap pembinaan lebuh raya ini akan diluaskan ke kawasan lain bagi memudahkan perjalanan kami (penduduk Serian) berulang-alik," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg serta Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof merasmikan pembukaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak Jajaran Serian Seksyen 3 di Serian Commercial Centre, di sini, hari ini.

Jajaran Serian iaitu laluan sepanjang 33.65 kilometer adalah kerja menaik taraf Jalan Persekutuan sedia ada dari Bulatan Serian ke Balai Ringin dengan kos keseluruhan RM700 juta.


Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 1:02 PM