Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kebarangkalian untuk terkena sihir yang kononnya dihantar sindiket 'Love Scam' adalah rendah kerana ia adalah elemen penipuan yang nyata.

Perunding Bidang Amalan Pengubatan Islam dan Perubatan Tradisional Dr Mahyuddin Ismail berkata, dalam sihir, untuk menjadikannya berkesan memerlukan tiga komponen utama iaitu ritual, bahan sihir dan kaedah sihir.

Katanya, sihir itu 'menjadi' dengan adanya bahan seperti pakaian, kuku, rambut, air liur atau darah mangsa.

"Kalau ada bahan-bahan ini yang diambil oleh scammer, kemungkinan untuk kena sihir mungkin tinggi.

"Pernah ada kes pemerdagangan orang, seorang perempuan dipaksa melacur dan jika enggan, dia akan disihir menggunakan rambut yang diambil daripada badannya," katanya kepada Harian Metro.

Dr Mahyuddin berkata, barangan seperti itu adalah komponen utama dalam sihir namun jika ia penipuan seperti mengambil duit semata-mata dan memungkiri janji untuk berkahwin, kemungkinan untuk terkena sihir adalah rendah.

"Kecuali kita bagi gambar kita yang ada cap jari kita. Kalau gambar dari internet, jarang berlaku terkena sihir sebegitu.

"Sukar untuk melakukan sihir tanpa barang-barang yang ada pada tubuh mangsa, agak sukar," katanya.

Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro Jumaat lalu mengenai sindiket Love Scam mengugut untuk menghantar sihir kepada mangsa yang mendesak wang mereka dipulangkan semula.

Ini kerana mereka diperdaya oleh kekasih maya yang berjanji untuk berkahwin, namun menghilangkan diri selepas menerima wang.

Dr Mahyuddin berkata, antara kaedah perlindungan yang disarankan dalam Islam adalah beriman dengan Allah SWT dan tidak mempercayai tipu daya syaitan.

Menurutnya, antara amalan baik yang dianjurkan Rasulullah SAW ialah bacaan Al-Muawwizatain dan ayat Manzil.

"Ia gabungan beberapa ayat seperti ayat Kursi dan surah tiga Qul yang nabi SAW sendiri baca," katanya.

Beliau turut menasihatkan mana-mana pasangan yang sedang bercinta agar tidak menyerahkan apa-apa barangan seperti pakaian, itus atau apa saja yang pernah menyentuh tubuh kepada kekasih.

Ini kerana ia boleh menjadi bahan sihir sekiranya berlaku perselisihan faham yang menimbulkan dendam dan sebagainya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 12:10 PM