GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Oleh Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Polis mengesahkan kejadian seorang lelaki ditemui mati dipercayai akibat cuaca panas yang rakaman videonya diheret keluar pengawal keselamatan dan ditinggalkan tepi jalan di Ara Damansara di sini, tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, semakan pihaknya mendapati, kejadian berlaku jam 6.01 petang, 15 Oktober lalu.

Menurutnya, lelaki berusia 59 tahun itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan yang hadir ke lokasi.

"Siasatan di lokasi turut dijalankan unit forensik. Saksi bebas termasuk pengawal keselamatan terbabit sudah diambil keterangan untuk membantu siasatan.

"Mayat dibawa ke Unit Patologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dan hasil laporan awal, tiada kesan kecederaan fizikal dan dalaman yang boleh menyebabkan kematian," katanya pada kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya masih menunggu laporan lengkap untuk mengesahkan punca kematian.

"Siasatan lanjut berkaitan kejadian itu termasuk sama ada mangsa sudah meninggal dunia atau tidak ketika diheret keluar pengawal keselamatan, masih dijalankan.

"Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan sekiranya laporan diterima menjurus kepada perlakuan jenayah atau kecuaian yang menyebabkan kematian mangsa, tindakan selanjutnya akan diambil," katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak menyalahgunakan media sosial dan memastikan kesahihan berita sebelum menularkannya.

Terdahulu, dua rakaman video masing-masing berdurasi seminit 31 saat dan seminit lapan saat tular di media sosial menunjukkan dua pengawal keselamatan mengheret seorang lelaki ke tepi jalan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 6:26 PM