ROSOL (dua dari kiri) menunjukkan senarai Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia pada Program Jualan Keluarga Malaysia. FOTO Ghazali Kori
ROSOL (dua dari kiri) menunjukkan senarai Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia pada Program Jualan Keluarga Malaysia. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Berang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meningkatkan penguatkuasaan dan pemantauan di semua peringkat rantaian pengeluar, pemborong dan peruncit bagi mengawal jangkaan berlaku kenaikan harga barang berikutan musim tengkujuh.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid, berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku kenaikan harga barangan keperluan asas yang disebabkan faktor cuaca.

Beliau berkata, selain faktor cuaca, kekurangan tenaga kerja dan harga barang mentah yang meningkat dijangka turut mempengaruhi beberapa harga barangan keperluan asas ketika ini.

"Bagi menghadapi sebarang kemungkinan itu, kerajaan menerusi KPDNHEP buat pertama kalinya melaksanakan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) untuk mengawal harga barangan yang mendapat permintaan tinggi pengguna antaranya ayam, telur dan sayuran.

"Buat permulaan, sebanyak 12 barangan disenaraikan dalam SHMKM yang akan bermula pada 7 hingga 31 Disember ini dan inisiatif ini diharap mampu meringankan beban rakyat.

"Ini antara usaha yang kita lakukan untuk mengawal harga barangan asas yang selalu digunakan pengguna selain pelaksanaan program Jualan Keluarga Malaysia (JKM) di 222 kawasan parlimen," katanya ketika ditemui selepas Program Jualan Keluarga Malaysia (JKM) di sini hari ini.

Rosol berkata, menerusi JKM yang dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi, pengguna boleh mendapatkan barang keperluan pada harga yang lebih rendah daripada harga pasaran.

Katanya, pihaknya akan terus meningkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi seperti Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) untuk menstabilkan kembali harga barangan keperluan.

"Kita tak nafi harga barang tak banyak berubah dan seperti yang kita kata faktor cuaca, tenaga buruh dan harga bahan mentah antara faktor kenaikan barang selain permintaan yang tinggi tetapi kekurangan bekalan.

"Kita faham situasi yang berlaku dan akan cuba melakukan yang terbaik untuk melindungi hak pengguna serta dalam masa sama tidak mengenepikan kepentingan peniaga, pengeluar dan pemborong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 5:39 PM