Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Harga maksimum ayam standard ditetapkan RM9.30 sekilogram bagi jualan runcit dan RM8 sekilogram bagi pemborong di Semenanjung Malaysia kecuali Langkawi, Kedah berkuat kuasa Selasa ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, harga itu ditetapkan menerusi Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).

Menurutnya, skim itu yang pertama kali diadakan berkuat kuasa selama 25 hari bertujuan meringankan bebanan rakyat mendepani kenaikan harga barang.

Katanya, harga ayam standard di Langkawi ditetapkan pada RM9.80 sekilogram (runcit) dan RM8.50 sekilogram (borong).

"Manakala, bagi kawasan di Wilayah Persekutuan Labuan, ayam standard ditetapkan pada harga RM11 sekilogram (runcit) dan RM10 (borong).

"Harga ayam standard ini berbeza mengikut kawasan dan di Sabah serta Sarawak, kita menetapkan harga bagi pembelian runcit antara RM9.30 hingga RM12.40 dan RM8.10 hingga RM11.20 bagi pembelian borong," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Jualan Keluarga Malaysia (JKM), di sini, hari ini.

Menurutnya, selain ayam standard, terdapat 11 jenis barangan lain termasuk dalam skim ini seperti ayam hidup, telur ayam Gred A, B dan C, kacang panjang, cili merah, tomato, sawi hijau, kobis bulat import serta timun.

"Seperti harga ayam standard, harga kawalan bagi 11 barangan yang lain juga berbeza mengikut kawasan dengan penetapan harga dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran.

"Ia mengambil kira pelbagai faktor perubahan harga khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan sebagainya," katanya.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, senarai harga barangan akan dikaji secara berterusan dan ditambah atau digugurkan berdasarkan penilaian situasi pasaran.

Katanya, SHMKM berbeza dengan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang diadakan setiap tahun dengan pelaksanaannya diharapkan mampu menstabilkan harga barangan asas di pasaran.

"Semua pihak di seluruh rantaian bekalan dalam kalangan pengeluar, pemborong, pengedar dan penjual akan dikenakan tindakan tegas sekiranya gagal mematuhi skim ini.

"Mana-mana peniaga yang gagal mematuhi skim ini boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 4:22 PM