Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Pertubuhan Penyayang Islam Malaysia (Muslim Care) bekerjasama dengan empat badan bukan kerajaan (NGO) lain bagi membina sebuah wad sementara pesakit Covid-19 di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Kepala Batas (HKB) di sini.

Wad sementara yang dikenali sebagai 'Wakaf Short Stay Unit (SSU) itu yang menempatkan 15 katil dengan peruntukan membabitkan RM100,000 melalui hasil sumbangan dan wakaf.

Presiden Muslim Care Zulkifli Wahijan berkata, pembinaan wad sementara itu dibina pihaknya bersama Khidmat Malaysia, Muslim Care Malaysia, Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pulau Pinang, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Pulau Pinang dan Ummah Pulau Pinang.

Menurutnya, wad berkenaan dibina bagi memberi keselesaan kepada pesakit yang perlu menunggu untuk memasuki wad.

"Pembinaan SSU ini tercetus kerana pada suatu ketika dahulu, kita sedih melihat ada pesakit Covid-19 terpaksa duduk di koridor dalam keadaan tengah panas untuk menunggu masuk wad yang mana sebelum ini hanya boleh menempatkan seorang pesakit," katanya selepas majlis perasmian wad terbabit di sini, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad.

IDRIS meninjau Wakaf Short Stay Unit (SSU) yang ditempatkan di Jabatan Kecemasan Trauma dan Trauma, Hospital Kepala Batas (HKB). FOTO Nur Izzati Mohamad
IDRIS meninjau Wakaf Short Stay Unit (SSU) yang ditempatkan di Jabatan Kecemasan Trauma dan Trauma, Hospital Kepala Batas (HKB). FOTO Nur Izzati Mohamad

Menurut Zulkifli, struktur wad SSU yang dibina di dalam sebuah kabin di kawasan padang permainan itu turut menempatkan peralatan perubatan yang lengkap termasuk katil.

"Ia boleh menempatkan 15 pesakit dalam satu masa selain dilengkapi tandas, penyaman udara dan peralatan perubatan.

"Selain itu, apabila habis Covid-19 kelak, wad SSU ini juga boleh digunakan sebagai wad tambahan untuk menampung sedikit sebanyak kekurangan lain," katanya.

Zulkifli berkata, pihaknya juga merancang untuk mengembangkan pembinaan wad SSU itu ke hospital lain selepas menerima beberapa permintaan yang mana ia akan dipertimbangkan.

Sementara itu, Idris berkata, beliau dimaklumkan bahawa pembinaan wad SSU itu adalah yang pertama dilakukan dengan kerjasama lima NGO.

"Justeru, kita berharap lebih banyak NGO dapat tampil memberi kerjasama dalam projek berkaitan kesihatan demi kesejahteraan rakyat di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 3:52 PM