TAN Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO Hairul Anuar Rahim
TAN Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO Hairul Anuar Rahim
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kesemua lapan sampel termasuk kontak rapat bagi kes pertama varian membimbangkan (VOC) Omicron di negara ini dilaporkan negatif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lapan kes indeks itu diminta mengadakan ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) ulangan selepas kes indeks berkenaan disahkan dijangkiti Covid-19 varian Omicron.

"Terkini dari Perak, kesemua lapan sampel ujian RT PCR hari ini adalah negatif.

"Ia termasuklah kes indeks Omicron pertama dalam negara serta tujuh kontak rapat yang membabitkan pemandu, pekerja universiti, tiga rakan universiti (dua warganegara Ghana dan seorang India) serta dua rakan sebiliknya. Alhamdulillah," katanya dalam ciapan Twitter nya hari ini.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam sidang media khasnya memaklumkan Malaysia merekodkan kes pertama VOC Omicron, membabitkan seorang penuntut yang mempunyai rekod perjalanan dari Afrika Selatan.

Khairy dipetik berkata, kes berkenaan ialah seorang penuntut sebuah universiti swasta di Ipoh berusia 19 tahun itu, tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November lalu dan menjalani ujian Rt-PCR setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Berita berkaitan:

  • Kes Omicron pertama dikesan di Malaysia [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 11:09 PM