Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diberi mandat untuk menentukan prosedur operasi standard (SOP) tanpa perlu memberi taklimat kepada mesyuarat kuartet terlebih dahulu susulan kemunculan varian baharu Covid-19, Omicron.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, varian Omicron yang dikesan hari ini dilihat mampu merebak dengan terlalu pantas.

"Kita belum mengetahui maklumat terperinci mengenai Omicron, malah dunia sendiri juga masih belum mengetahui dari segi (keberkesanan) vaksin dan masih terlalu awal.

"Mungkin dua ke tiga minggu lagi kita memperoleh maklumat terperinci dan ini akan disalurkan kepada KKM," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau hadir di majlis pelancaran Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022.

Hadir sama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Pengerusi DSA Exhibition and Conferance Sdn Bhd Tan Sri Asmat Kamaludin.

Hishammuddin menyampaikan ucapan di Majlis Pelancaran Pameran Antarabangsa Defence Services Asia (DSA) Tahun 2022 di Hotel St. Regis Kuala Lumpur. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Hishammuddin menyampaikan ucapan di Majlis Pelancaran Pameran Antarabangsa Defence Services Asia (DSA) Tahun 2022 di Hotel St. Regis Kuala Lumpur. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN

Mengulas mengenai penganjuran pameran berkenaan susulan penemuan baharu varian berkenaan, Hishamuddin berkata, penganjur perlu menjalinkan kerjasama rapat dengan KKM untuk mengetahui situasi semasa khususnya berkaitan varian Omicron.

"Banyak perkara yang akan diputuskan khususnya apabila berkaitan prosedur operasi standar (SOP) isu kesihatan dan apa yang penting adalah penganjur perlu memastikan kerjasama rapat dengan KKM," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 6:08 PM