HEE SEM meninjau harga sayur di sebuah pasaraya di Bandar Jasin, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
HEE SEM meninjau harga sayur di sebuah pasaraya di Bandar Jasin, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


Jasin: Harga sayur yang dijual di negeri ini tidak dikawal oleh golongan kartel seperti didakwa ramai pihak.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar, berkata, tiada sebarang laporan diterima berhubung isu itu malah hasil pemantauan dan risikan pihaknya turut mendapati kegiatan membabitkan kartel sayur itu tidak wujud.

"Tiada isu kartel di Melaka kerana sayuran yang dibawa ke negeri ini dihantar terus dari Cameron Highlands.

"Jadi, pasar borong yang menentukan harga sayur. Namun, bekalan sayur ketika ini agak kurang susulan beberapa faktor termasuk kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands semalam (kelmarin), sekali gis menjejaskan pengeluaran bekalan dari tanah tinggi itu," katanya selepas mengiringi EXCO Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dab Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem meninjau harga barangan di sebuah pasar raya di Bandar Jasin, di sini, tadi.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar.

Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands semalam mendakwa, semua pasar di seluruh negara mempunyai harga kartel yang ditetapkan mengikut satu-satu kawasan.

Pengerusinya, Datuk Syed Abd Rahman Syed Abdul Rashid berkata, ia menyebabkan sayur tidak boleh dijual dengan harga di bawah paras ditetapkan oleh kartel berkenaan.

Sementara itu, Hee Sem berkata, pihaknya bersama KPDNHEP negeri akan mengadakan pertemuan dengan beberapa pihak yang dikatakan menjadi orang tengah dalam urusan penjualan bahan mentah di negeri ini.

Katanya, perjumpaan yang dijadual minggu depan itu akan membincangkan beberapa perkara termasuk berkaitan kadar keuntungan yang tinggi oleh orang tengah berkenaan.

"Saya akan cuba berunding dengan mereka untuk memastikan harga barangan keperluan harian penduduk seperti sayur dan ayam dapat diturunkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 5:36 PM