ANGGOTA bomba menjalankan operasi mengeluarkan mayat mangsa semalam. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba menjalankan operasi mengeluarkan mayat mangsa semalam. FOTO ihsan bomba
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Hanya dua kenderaan disahkan terbabit dalam insiden tanah runtuh di Seksyen 27, KM39 FT 185 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley (Cameron Highlands) yang dilaporkan berlaku tengah hari semalam.

Sebelum ini tiga kenderaan dikatakan tertimbus dalam runtuhan itu iaitu masing-masing membabitkan sebuah lori, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah kereta.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, setakat pagi ini hanya dua kenderaan dikenal pasti iaitu lori dan MPV.

Katanya, bagaimanapun operasi pihaknya masih diteruskan dengan pembersihan laluan bagi memastikan tiada lagi kenderaan mahupun mangsa terbabit.

Sehingga jam 9.18 pagi tadi, jurucakap bomba berkata, mangsa yang maut dalam insiden itu ialah pemandu lori, Muhamad Hafiz Hamdi, 31, dan pemandu MPV dikenali sebagai Tan Chee Heng, 36.

"Mayat Muhamad Hafiz dijumpai jam 10.46 malam, sementara mayat Chee Heng jumpai pada jam 9.54 malam tadi.

"Maklumat terkini, hanya terdapat dua kenderaan terperangkap iaitu lori dan MPV," katanya menerusi kenyataan pagi ini.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat menggunakan jentera berat seperti jengkaut selain kepakaran khas seperti Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) JBPM, Unit Anjing Pengesan K9 dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

Beliau berkata, operasi membabitkan kekuatan seramai 139 anggota termasuk dari lain-lain agensi.

Berita berkaitan

Dua kenderaan terperangkap tanah runtuh [METROTV]

Kenderaan tertimbus tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands

Ada lagi kenderaan tertimbus selain lori, Toyota Vellfire

Kenderaan tertimbus: Pemandu lori, kenderaan MPV disahkan maut

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 10:50 AM