Ibu bapa pelajar menghantar bekelan makanan serta keperluan kepada pelajar Sekolah Seri Puteri yang menjalani kuarantin susulan penularan kes Covid19. FOTO SAMADI AHMAD
Ibu bapa pelajar menghantar bekelan makanan serta keperluan kepada pelajar Sekolah Seri Puteri yang menjalani kuarantin susulan penularan kes Covid19. FOTO SAMADI AHMAD
Samadi Ahmad


Cyberjaya: Ibu bapa pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Sekolah Seri Puteri (SSP), di sini terus memberikan sokongan kepada pihak sekolah bagi menangani situasi penularan Covid-19 di sekolah itu.

Tinjauan hari ini mendapati, ramai dalam kalangan ibu bapa sepakat hadir bagi menghantar bekalan makanan kepada pelajar yang menjalani kurantin.

Turut kelihatan sebuah kenderaan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang bersama empat kakitangan keluar dari kawasan sekolah dipercayai selepas selesai menjalankan ujian saringan terhadap pelajar.

Suri rumah, Arisha Hamdan, 44, dari Desa Mutiara, Country Home, Rawang, berkata dia hadir ke sekolah untuk menyampaikan sumbangan makanan dan air mineral kepada pelajar menjalani kuarantin.

Menurutnya, anaknya yang menuntut di tingkatan satu di SSP menjalani kuarantin selepas disahkan menjadi kontak rapat kepada seorang rakan yang disahkan positif.

"Berita mengenai pelajar SSP dijangkiti Covid-19 dimaklumkan pihak sekolah pada Sabtu lalu dan sebagai ibu, saya bimbang dengan keselamatan anak dan selebihnya berserah kepada Allah SWT agar semua pelajar diberi kesihatan baik dengan segera.

"Kami beri kepercayaan kepada pihak sekolah untuk menangani kes ini dan sebagai ibu bapa, kami sentiasa memberi sokongan demi keselamatan semua pihak," katanya.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin hari ini memaklumkan, seramai 73 individu disahkan positif Covid-19 membabitkan dua guru dan 71 pelajar, manakala seramai 451 individu sudah disaring iaitu 437 pelajar, 13 guru dan seorang petugas.

Katanya, semua guru dan pelajar lengkap vaksinasi kecuali empat individu yang belum lengkap vaksinasi.

Sementara itu, seorang bapa kepada pelajar tingkatan dua dari Taman Saujana, Rawang yang enggan dikenali berkata, dia hadir ke sekolah dengan membawa barangan makanan bagi memberi sokongan moral kepada pelajar dikurantin.

"Kebanyakkan ibu bapa yang hadir hari ini membawa sumbangan makanan seperti biskut dan air mineral selepas berbincang dengan pihak pengurusan sekolah.

"Kami berharap SSP terus menyalurkan maklumat kepada ibu bapa mengenai keadaan kesihatan anak supaya kami tidak berasa bimbang memikirkan masalah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 6:00 PM