DATUK Ahmad Yakob berucap pada  Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan (Belanjawan) di Kota Darulnaim, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DATUK Ahmad Yakob berucap pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan (Belanjawan) di Kota Darulnaim, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kerajaan negeri hari ini membentangkan Belanjawan 2022 dengan defisit RM90.49 juta, meningkat RM24.47 juta daripada defisit RM66.02 juta dalam bajet tahun lalu.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata, Belanjawan 2022 bertemakan 'Kelantan Maju Rakyat Sejahtera' memperuntukkan RM1.51 bilion dan menjurus kepada enam teras, iaitu transformasi kewangan, memacu ekonomi, pendidikan dan agama, kesejahteraan rakyat, perlindungan sosial serta kebajikan.

Menurutnya, untuk empat tahun berturut-turut, perbelanjaan sebenar merekodkan lebihan iaitu RM38.82 juta pada 2017, RM40.46 juta (2018), RM445.69 juta (2019) serta RM45.44 juta (2020).

"Anggaran perbelanjaan mengurus pada 2022 dijangka RM1.08 bilion berbanding RM1.09 bilion pada 2021 iaitu penjimatan RM7.46 juta. Peruntukan pembangunan pula RM428.3 juta, dibiayai di bawah peruntukan negeri dan sumber pinjaman.

"Kerajaan negeri menganggarkan perolehan hasil RM991.74 juta dengan terimaan dan agensi kerajaan menjadi penyumbang terbesar iaitu RM339.65 juta. Hasil tanah penyumbang kedua terbesar dengan RM317.59 juta dan penyumbang ketiga terbesar adalah terimaan lain-lain sebanyak RM181.62 juta," katanya.

Beliau yang membentangkan Belanjawan Kelantan 2022 di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkata, sejak wabak Covid-19 melanda negara, kerajaan negeri menguruskan perbelanjaan sejumlah RM122.8 juta untuk menangani kesan pandemik di Kelantan.

"Sebanyak RM22 juta termasuk bantuan prihatin diperuntukkan untuk pengurusan operasi, projek khas serta meningkatkan fasiliti kesihatan," katanya turut berterima kasih kepada semua pihak yang sama-sama berusaha untuk mewujudkan suasana Keluarga Malaysia di negeri ini.

Katanya, penghargaan khas ditujukan kepada semua petugas barisan hadapan yang banyak berkorban bagi membendung penularan Covid-19.

"Kerajaan negeri juga merakamkan ucapan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan di atas hubungan kerjasama yang baik bagi memastikan rakyat negeri ini mendapat manfaat dalam apa jua program pembangunan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 3:46 PM