CHONG Wei (kiri) menerima Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan daripada Tuanku Syed Sirajuddin. FOTO ihsan Istana Arau
CHONG Wei (kiri) menerima Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan daripada Tuanku Syed Sirajuddin. FOTO ihsan Istana Arau
Aizat Sharif


Arau: Bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan daripada Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.

Penganugerahan berkenaan disampaikan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor USM ketika Istiadat Konvokesyen Ke-58 USM yang diadakan di Balai Menghadap Hijau, Istana Arau, hari ini.

Dalam istiadat berkenaan, baginda menitahkan agar semua pihak berhenti daripada melakukan aktiviti yang mengancam kesejahteraan masyarakat.

"Keutamaan mestilah diberikan sepenuhnya kepada pembangunan masyarakat dan negara.

"Pertelagahan mahupun pertelingkahan yang dapat meruntuhkan benteng perpaduan masyarakat termasuk melalui media sosial perlu dihentikan sepenuhnya," titahnya.

Titahnya lagi, semua pihak perlu memanfaatkan ilmu dan pengetahuan agar dapat keluar dari segala kemelut yang ada.

"Beta percaya kita mampu melakukannya dan sama-sama memainkan peranan dalam memerangiCovid-19.

"Selain itu juga, beta berharap supaya para ilmuwan kita dalam pelbagai bidang kepakaran dapat bersatu tenaga dan fikiran membantu negara dan masyarakat.

"Kita perlulah memainkan peranan dalam pembangunan semula ekonomi negara dan pada masa yang sama memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara," titahnya lagi.

Turut sama berangkat dalam istiadat berkenaan sama adalah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Selain Chong Wei, beberapa penerima ijazah kehormat lain yang turut dianugerahkan dalam istiadat berkenaan adalah Dr David Lacey bagi Ijazah Kehormat Doktor Sains, Datuk Dr Asma Ismail (Anugerah Profesor Emerita), Dr Zahri Ismail (Anugerah Profesor Emeritus) dan Khaw Teng Kang (Hadiah Pingat Emas Canselor).

Selain itu, turut hadir dalam istiadat itu adalah Pro Canselor USM Tan Sri Mustafa Mansur dan Tan Sri Dr Zulkefli A Hassan, Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Naib Canselor Prof Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 3:26 PM