Izham Hashim
Izham Hashim
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kerajaan negeri Selangor membuat keputusan untuk melanjutkan Skim Air Darul Ehsan (Sade) bagi tempoh dua tahun lagi, bermula Januari depan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam dan Pemodenan Pertanian & Industri Asas Tani negeri, Izham Hashim berkata, pendaftaran bagi program itu dibuka sepanjang tahun.

Beliau berkata, sejumlah 2,544,196 juta akaun domestik Air Selangor direkodkan sehingga 31 Oktober lalu dan sejumlah 1,238,314 akaun mendaftar e-bil.

"Dalam tempoh sama, jumlah penerima Sade sebanyak 287,181 iaitu 46 peratus daripada jumlah disasarkan kerajaan negeri sebanyak 620,000.

"Penerima Sade yang mendaftar e-bil sebanyak 124,864 akaun daripada keseluruhan 287,181 akaun," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor, hari ini.

Izham berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Lee Kee Hiong (PH-Kuala Kubu Bharu) mengenai pelanggan domestik Air Selangor.

Izham berkata, berikutan jumlah penyertaan rakyat dalam Sade agak rendah, program menggalakkan rakyat berdaftar akan dilaksanakan sepanjang tahun.

Beliau berkata, promosi secara berkala akan dilaksanakan termasuk membabitkan pejabat khidmat Dewan Undangan Negeri (Dun) serta diperluaskan ke media sosial bagi meningkatkan penyertaan rakyat dalam skim itu.

Izham berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PAS-Sijangkang) yang ingin mengetahui punca kurang 50 peratus daripada jumlah keseluruhan akaun domestik pelanggan Air Selangor berdaftar dalam Sade.

Sade yang berkuatkuasa pada 1 Mac 2020 adalah penjenamaan semula Program Pemberian Air Percuma dilaksanakan kerajaan Selangor sejak 1 Jun 2008.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web Sistem Smart lnisiatif Peduli Rakyat (SSIPR) www.ssipr.selangor.gov.my atau mengisi Borang Permohonan Program IPR Skim Air Darul Ehsan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 2:56 PM