FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Setiap tahun, kira-kira 2,000 penduduk dari Kedah bekerja atau membabitkan diri dalam sektor tenaga buruh di Pulau Pinang.

Mereka adalah sebahagian daripada kira-kira 3,500 penduduk Kedah yang berhijrah dari negeri itu ke Pulau Pinang setiap tahun.

Timbalan Ketua Menteri II Dr P Ramasamy berkata, bagaimanapun jumlah sebenar dianggarkan lebih tinggi kerana ramai penduduk Kedah yang bekerja di Pulau Pinang tetapi tidak menetap di negeri ini dan berulang-alik setiap hari.

"Data Jabatan Perangkaan daripada 2014 hingga 2020 mendapati, jumlah penduduk Kedah yang berhijrah itu menyumbang hampir 10 peratus daripada jumlah migrasi masuk ke Pulau Pinang," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini, hari ini.

Ramasamy (DAP-Perai) menjawab soalan lisan M Satees (DAP-Bagan Dalam) berhubung anggaran penduduk Kedah yang bekerja di Pulau Pinang khususnya dalam sektor swasta.

Dalam pada itu, Ramasamy berkata, berdasarkan analisis Penang Institute, jumlah penduduk dari wilayah utara iaitu Kedah, Perlis dan Perak yang berhijrah ke Pulau Pinang pula adalah stabil iaitu 7,550 orang setahun antara 2014 hingga 2018 dengan 4,300 daripada mereka terbabit dalam tenaga buruh.

"Namun pada tahun lalu, bilangan migran menurun 35 peratus kepada hanya 4,200 orang dengan anggaran 2,500 terbabit dalam tenaga buruh.

"Penurunan ini berlaku mungkin disebabkan oleh pandemik Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 2:45 PM