GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Hasbi

Seremban: Mudah lulus, tanpa penjamin, tanpa penyata gaji dan hanya memohon dalam talian sahaja. Itu antara janji manis sindiket pinjaman tidak wujud yang dikesan pihak polis untuk memperdayakan mangsa.

Menurut perangkaan Polis Kontinjen Negeri Sembilan, jumlah kes membabitkan pinjaman tidak wujud meningkat sejak 2017 hingga 2020, namun jumlahnya dilihat menurun pada tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, untuk 2021, 376 kes dilaporkan dengan jumlah kerugian mencecah RM3 juta sehingga Oktober lalu.

"Pada 2017 sebanyak 197 kes direkodkan dengan jumlah kerugian lebih RM1.2 juta. Jumlah kes terus meningkat pada tahun-tahun berikutnya sehingga mencecah 457 kes pada 2020 dengan kerugian lebih RM4 juta.

"Kes penipuan pinjaman tidak wujud menyumbangkan 16.5 peratus daripada jumlah kes jenayah komersial di Negeri Sembilan," katanya ketika dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sindiket akan menawarkan pinjaman melalui laman sosial dengan menjanjikan proses yang mudah dan cepat secara dalam talian sahaja tanpa perlu pergi ke mana-mana pejabat.

"Apabila permohonan diluluskan, sindiket akan mengenakan pelbagai fi kononnya perlu dibuat sebelum pinjaman boleh diserahkan ke akaun mangsa. Namun, sindiket akan meminta bayaran lain sehingga mangsa menyedari ditipu," katanya.

Justeru beliau berkata, orang ramai yang berhasrat untuk membuat pinjaman dinasihatkan supaya ke mana-mana bank atau syarikat pemberi pinjaman wang berlesen yang dipantau pihak berkuasa.

"Bagi mengelak diri daripada menjadi keldai akaun, orang ramai diminta supaya tidak memberi atau membenarkan akaun bank digunakan pihak lain dan sekiranya pernah mengalaminya, diminta tampil membuat laporan polis dan membatalkan kad ATM.

"Orang ramai juga digalakkan membuat semakan melalui laman web atau aplikasi Semakmule Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan akaun bank mereka tidak digunakan mana-mana individu atau sindiket untuk tujuan jenayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 10:58 AM