GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Dua lelaki dikompaun RM2,000 atas kesalahan gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) apabila merentas negeri tanpa vaksinasi lengkap.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, lelaki masing-masing berusia 21 dan 31 tahun dari Jengka, Pahang itu dalam perjalanan ke Felda Pasir Besar, Gemas.

Katanya, sebaik tiba di sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 1 Jalan Rompin - Pasir Besar pada 12.10 tengah malam tadi, kedua-duanya ditahan bagi tujuan pemeriksaan.

"Pemeriksaan mendapati mereka tidak dilengkapi dua dos vaksin sekali gus gagal mematuhi SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4.

"Berikutan itu kompaun dikeluarkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya hari ini.

Chang Hook berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua lelaki berkenaan hanya mengambil satu dos vaksin saja sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, Chang Hook berkata, di SJR sama pada jam 11.30 malam, polis menahan seorang lelaki berusia 35 tahun dan merampas 11 paket syabu seberat 3.99 gram.

Katanya, suspek yang melalui SJR berkenaan dengan menunggang motosikal dilihat dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan menemui dadah dalam beg di bakul motosikalnya.

"Ujian air kencing suspek positif dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 10:48 AM