SEORANG wanita cedera selepas kakinya dihempap forklift. FOTO ihsan bomba
SEORANG wanita cedera selepas kakinya dihempap forklift. FOTO ihsan bomba
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Seorang wanita cedera selepas kakinya dihempap jentera angkat susun (forklift) di sebuah kilang di Jalan Kemunting, Bukit Beruntung, dekat sini semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.56 petang.

"Sembilan anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba bomba mendapati kaki kiri wanita berusia 28 tahun dihempap forklift," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Norazam berkata, mangsa berjaya dikeluarkan pekerja kilang sebelum pihak bomba tiba.

Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Selayang oleh van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan BBP Bukit Sentosa.

"Operasi tamat sepenuhnya pada 6.50 petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 10:36 AM