GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Seramai 24 penuntut Politeknik Sandakan dijangkiti Covid-19.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kes indeks adalah lelaki tempatan berusia 19 tahun yang bergejala demam dan batuk sejak 12 November lepas.

Beliau berkata, lelaki itu disahkan positif Covid-19 di klinik swasta pada hari sama.

"Saringan kontak rapat terhadap 29 pelajar serta dua orang kakitangan, mendapati 24 kes positif termasuk 11 kes baharu dalam kalangan pelajar asrama institusi berkenaan," katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, jumlah kes harian Covid-19 semalam kekal mencatatkan sebanyak tiga angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini (semalam) adalah sebanyak 467 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 233,700 kes.

"Sebanyak tujuh kes kematian dilaporkan iaitu empat kes di Kota Kinabalu, manakala masing-masing satu kes di Kudat, Tuaran dan Lahad Datu.

"Bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 464 menjadikan jumlah kumulatif 223,313 orang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 8:21 AM