Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Tiada keperluan menutup Parlimen meskipun sudah merekodkan kes baharu jangkitan Covid-19, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Ini berikutan, katanya, kerajaan mempunyai langkah dan strategi untuk menangani penularan wabak.

"Sekarang ini kita sudah ada bukan hanya kerangka tapi pengalaman sebelum ini dan langkah menutup Parlimen adalah langkah terakhir.

"Sekiranya kita dapat buat ujian pengesanan Covid-19 dengan kerap iaitu setiap dua hari, kita dapat kesan dengan cepat dan asingkan mereka (positif Covid-19) dengan yang lain. Maka tiada keperluan untuk menutup perjalanan Parlimen," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Dewan Rakyat. FOTO Arkib NSTP.
Dewan Rakyat. FOTO Arkib NSTP.

Semalam, media melaporkan sebanyak 25 kes positif Covid-19 yang dikesan melalui saringan berkala pada Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-14, berkemungkinan besar adalah varian delta.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, ia dikesan melalui saringan ujian PCR Genotyping Assay.

Sehubungan itu, Khairy berkata, strategi yang sedang dilaksanakan kerajaan ketika ini dapat membantu daripada mengambil tindakan drastik sekiranya berlakunya penularan baharu.

"Dengan semua strategi ini, kita harap bahawa apabila berlaku penularan kes tak perlu untuk melaksanakan tindakan yang terlalu drastik seperti PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), lockdown, penutupan Parlimen dan sebagainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 3:28 PM