ANGGOTA APM Pendang menguruskan pengebumian jenazah pesakit Covid-19. FOTO Ihsan APM
ANGGOTA APM Pendang menguruskan pengebumian jenazah pesakit Covid-19. FOTO Ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


Pendang: "Sepanjang bertugas menguruskan jenazah pesakit Covid-19 di daerah ini, paling sedih ketika menguruskan jasad senior sekolah saya yang meninggal akibat dijangkiti virus itu.

"Arwah adalah ibu muda yang berusia 26 tahun meninggal selepas bersalin anak sulungnya tetapi bayinya berjaya diselamatkan," kata anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pendang, Mohd Faiz Shaidin, 25.

Menurut Mohd Faiz, dia dan arwah pernah belajar di sekolah yang sama di daerah ini dan arwah menetap di Kampung Pokok Assam, di sini.

Katanya, namun demi tugas, dia melaksanakan tugas itu walaupun sedih melihat ibu muda itu meninggal dunia akibat Covid-19.

"Saya terbabit dalam tugas menguruskan jenazah Covid-19 ini, sejak enam bulan lalu, namun pelbagai cabaran yang perlu dilalui sepanjang tempoh itu.

"Ketika kes Covid-19 tengah naik pertengahan tahun ini, boleh dikatakan setiap hari ada saja kematian hinggakan saya dan rakan-rakan dah tak peduli penat lelah menjalankan tugas ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Faiz berkata, selain itu ada juga kes yang mana bapa dan anak perempuan dijangkiti Covid-19 dan kedua-duanya meninggal dunia.

Katanya, pada mulanya, si bapa meninggal dunia dahulu dan disusuli anaknya beberapa hari kemudian.

"Sebaik dimaklumkan pihak hospital ada kematian jenazah Covid-19 kami kena bersedia untuk menguruskan jenazah tidak kira siang atau tengah malam.

"Kadang waktu hujan pun kami laksanakan tugas sehingga selesai," katanya.

Mohd Faiz menasihatkan orang ramai supaya terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka, mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman atau menggunakan sabun selain mengamalkan penjarakan fizikal bagi mengelak terdedah dengan jangkitan Covid-19.

Katanya, setakat ini, APM Pendang sudah menguruskan 111 jenazah pesakit Covid-19 yang kebanyakannya adalah warga emas.

"Walaupun terdedah risiko dijangkiti Covid-19 namun kami anggota APM sentiasa memastikan memakai pakaian perlindungan diri (PPE) bagi mengelak dijangkiti virus berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 9:14 AM