Muhammad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Harian Metro mengungguli dua Hadiah Kewartawanan Malaysia-MPI Petronas 2020 malam ini, selepas memenangi kategori Infografik Terbaik dan Kewartawanan Foto Cemerlang.

Tempat pertama Kategori Infografik dimenangi Foto Koordinator Harian Metro Shahrul Zaman Mohd Zain dan Nor Salim Mohamed Dawam menerusi grafik Arang Gred Terbaik.

Bagi Kategori Kewartanan Foto Cemerlang, ia dimenangi Mohd Aswadi Alias menerusi rakaman foto bertajuk 'Lelah Terbalas'.

Pemenang kedua-dua kategori itu membawa pulang wang tunai RM10,000 dan sijil.

Sementara itu, Harian Metro turut mendapat hadiah pemenang perak berupa sijil dan wang tunai RM1,500 menerusi kategori Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang menerusi wartawan Skuad Khas Harian Metro dengan laporan 'Sekongkol Cipta Kartel'.

Penolong Pengarang Berita Harian Metro Syah Rul Aswari Abdullah pula memenangi gangsa dengan menerima wang tunai RM1,000 dan sijil menerusi kategori Penulisan Kolum/Rencana Pengarang Cemerlang.

ISMAIL Sabri bergambar bersama pemenang anugerah ketika Malam Wartawan Malaysia 2021. FOTO Hairul Anuar Rahim
ISMAIL Sabri bergambar bersama pemenang anugerah ketika Malam Wartawan Malaysia 2021. FOTO Hairul Anuar Rahim

Sementara itu, Pengarang Grafik Khairil Shahriman Maarup turut memenangi gangsa menerusi Kategori Desain Halaman Pertama Terbaik.

Jurugambar Harian Metro Osman Adnan turut mendapat hadiah pemenang perak menerusi kategori Kewartawanan Foto Esei Cemerlang menerusi tajuk 'Spektrum: Normal Baharu Atlet'.

Dalam majlis berkenaan, Kumpulan Media Prima mengungguli anugerah kewartawanan berkenaan apabila menguasai kemenangan dalam tujuh kategori utama.

Selain dua kategori yang dimenangi Harian Metro, New Straits Times memenangi Kategori Laporan Berita Cemerlang dan Penulisan Rencana Cemerlang manakala Berita Harian memenangi Kategori Desain Halaman Pertama Terbaik dan TV3 memenangi Kategori Wartawan Muda A Samad Ismail dan Dokumentari Video Terbaik.

Pemenang setiap kategori masing-masing menerima RM10,000 dan sijil.

Majlis itu turut dihadiri Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit, Pengarang Eksekutif (Kandungan) Muhamad Safar Ahmad dan Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Yusri Abdul Malek dan Pengarang Berita Kanan Sufian Thauri Muhammed.

Husain (kanan, berdiri) bersama Pengarang New Straits Times, Lukman Mansor (tiga dari kiri, berdiri) bersama Pengarang Berita Harian Datuk Saidon Idris (kiri, berdiri) bergambar wartawan dan jurugambar NSTP yang memenangi anugerah. FOTO Hairul Anuar Rahim
Husain (kanan, berdiri) bersama Pengarang New Straits Times, Lukman Mansor (tiga dari kiri, berdiri) bersama Pengarang Berita Harian Datuk Saidon Idris (kiri, berdiri) bergambar wartawan dan jurugambar NSTP yang memenangi anugerah. FOTO Hairul Anuar Rahim

Sementara itu, Shahrul Zaman berkata, beliau bersyukur media Harian Metro masih subur dan dipercayai dengan tanggungjawab profesionalisme dalam memberi maklumat dan informasi kepada rakyat.

"Kemenangan ini satu penghargaan kepada Harian Metro," katanya.

Mohd Aswadi pula berkata, dia berasa teruja dan terkejut kerana percubaan kali pertama menyertainya membuahkan hasil.

"Alhamdulillah ada rezeki saya malam ini dan berbaloi mengambil gambar ini dengan mengorbankan masa ketika hari tidak berkerja untuk mengambil gambar dan terhasillah ia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 10:56 PM