Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my


Georgetown: Seramai 8,733 atau 7.59 peratus anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) polis di seluruh negara sudah menerima suntikan dos penggalak Covid-19.

Sementara 106,352 atau 92.41 peratus anggota lagi sedang menunggu giliran bagi mendapatkan suntikan ketiga itu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, setakat ini tiada laporan membabitkan anggota PDRM menolak daripada menerima suntikan dos penggalak itu.

"Kita memang menggalakkan semua anggota mengambil suntikan dos penggalak dan harap ia diberi kepada semua.

"Setakat ini tiada anggota dilaporkan menolak suntikan itu kecuali yang mempunyai masalah kesihatan dan menerima pengesahan daripada doktor," katanya kepada media, hari ini.

Mazlan ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Zakat kepada 40 individu terdiri daripada asnaf, balu, anak yatim dan pesara polis di Dewan Serbaguna Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1, Batu Uban, di sini.

Mazlan berkata, setakat hari ini, daripada keseluruhan RM471,135.00 pungutan menerusi Tabung Wakalah Zakat PDRM, sebanyak RM268,315.95 sudah diagih kepada penerima.

Beliau berkata, Tabung Wakalah Zakat PDRM adalah sebahagian pengembalian semula wang zakat daripada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hasil daripada bayaran zakat PDRM melalui kaedah Potongan Zakat Bulanan secara potongan gaji.

Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata, pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di daerah Timur Laut sedang dalam proses pemberian tender oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Ia sudah diluluskan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan membabitkan kos kira-kira RM300 juta.

Datuk Seri Mazlan Lazim (dua dari kanan) diiringi Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada penerima sempena Lawatan Kerja ke Kontijen Pulau Pinang di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Batu Uban di sini. FOTO DANIAL SAAD
Datuk Seri Mazlan Lazim (dua dari kanan) diiringi Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada penerima sempena Lawatan Kerja ke Kontijen Pulau Pinang di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Batu Uban di sini. FOTO DANIAL SAAD

"Kita amat berterima kasih kepada kerajaan dan pembinaan ini sebagai kebajikan kepada anggota dan ia akan dilengkapi dengan pejabat pentadbiran, kemudahan surau, taska, gelanggang futsal, auditorium dan sebagainya," katanya.

Mazlan berkata, pembinaan sebanyak 200 unit rumah kuarters polis menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada anggota PDRM.

Menurutnya, pihaknya sedia maklum kos sewa rumah di Pulau Pinang agak tinggi dan berbesar hati dengan keprihatinan kerajaan bagi kemudahan kuarters itu.

Bangunan IPK Pulau Pinang yang sedia ada di Jalan Penang mula digunakan sejak 1937 dan kini sudah usang serta tidak ekonomik untuk dibaiki.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 7:33 PM