Omar Ahmad
am@hmetro.com.my


Johor Bahru: Pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura menerusi inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksinasi (VTL) darat dijangka meningkatkan kadar pelaburan sehingga 20 peratus di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Datuk Mohd Izhar Ahmad berkata, ia membabitkan nilai maksimum kira-kira RM10 bilion.

Kata beliau, jumlah pelaburan itu akan diterima dalam tempoh kira-kira enam bulan selepas VTL darat dilaksana.

"Sudah tentu ada peningkatan pelaburan, ini adalah perkara yang baik. Kita ada prospek pelabur yang menunggu untuk melabur namun tidak boleh masuk ke sini akibat penularan Covid-19.

"Saya tidak boleh dedahkan syarikat pelaburan itu tetapi dengan pembukaan sempadan menerusi VTL darat, kita jangka akan ada sekurang-kurangnya 20 peratus peningkatan pelaburan," katanya pada sidang media selepas majlis Anugerah Koperasi Terbaik Negeri Johor 2020 di Hotel Throve di sini, hari ini.

Izhar (tengah) menyampaikan kepada wakil Koperssi Kemajuan Tanah Negeri Johor Berhad yang mendapat tempat pertama dalam Anugerah 50 Koperasi Terbaik Negeri Johor 2020 di Hotel Throve. FOTO OMAR AHMAD
Izhar (tengah) menyampaikan kepada wakil Koperssi Kemajuan Tanah Negeri Johor Berhad yang mendapat tempat pertama dalam Anugerah 50 Koperasi Terbaik Negeri Johor 2020 di Hotel Throve. FOTO OMAR AHMAD

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong merasmikan pembukaan VTL darat di Pusat Pemeriksaan Woodlands, Singapura.

Pada pertemuan itu, kedua pemimpin bersetuju untuk memasukkan semua kategori pengembara untuk VTL darat, tertakluk kepada keperluan kesihatan yang ditentukan oleh kedua-dua negara.

Mereka juga bersetuju untuk memperluaskan VTL darat untuk memasukkan laluan perkhidmatan bas tambahan melalui Link Kedua, kereta api yang dikendalikan oleh Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan secara berperingkat membabitkan kenderaan peribadi seperti motosikal serta kereta.

Mohd Izhar berkata, pihaknya juga berpendapat pembukaan semula sempadan menerusi VTL adalah satu daripada alternatif terbaik dalam membantu menaikkan semula ekonomi rakyat, terutama golongan usahawan di negeri ini.

"Bagaimanapun, buat masa ini, kita tumpukan terlebih dahulu kepada keselamatan dan kesihatan awam terutamanya pengembara berkaitan.

"Seperti ketika ini, VTL ini kita lihat daripada sudut kemanusiaan yang mana keluarga yang lama terpisah dapat bertemu semula. Jadi, laluan (VTL darat) memang sesak dengan golongan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 2:03 PM