Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan Program Jualan Keluarga Malaysia bermula Sabtu ini, yang menawarkan harga barangan 15 hingga 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran.

Menterinya Datuk Seri Alaxander Nanta Linggi berkata, program ini akan berlangsung di seluruh negara membabitkan 222 kawasan Parlimen dengan kekerapan dua kali sebulan.

"Kementerian sudah mendapat kerjasama agensi dan jabatan kerajaan lain bagi memastikan jualan barangan keperluan asas pengguna ini sampai kepada Keluarga Malaysia yang terkesan dengan kenaikan harga barangan," katanya.

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM262 juta bagi membantu peladang yang terjejas, susulan kenaikan harga baja dan racun.

"Daripada jumlah itu, sebanyak RM200 juta disediakan sebagai pinjaman agromakanan pada kadar sifar faedah dengan moratorium bayaran balik selama enam bulan melalui Agrobank dan Tabung Ekonomi Kumpulan Urus Niaga (Tekun Nasional) untuk manfaat pengeluar agromakanan bagi menangani kos pengeluaran yang tinggi di peringkat ladang," katanya.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas), beliau berkata, KPDNHEP sedia mempertimbangkan untuk melaksana Jualan Keluarga Malaysia dengan lebih kerap lagi.

Dalam pada itu katanya, pihaknya bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sentiasa memantau rantaian bekalan makanan termasuk bagi mengenal pasti punca kenaikan harga makanan khususnya sayuran dan haiwan ternakan.

"Sebab itu kita buat libat urus dan esok, penternak akan jumpa dengan saya dan bagaimana mereka boleh bantu kita. Sebelum ini mereka mohon kepada kerajaan, bukan (untuk) beri subsidi makanan ayam, tapi babitkan kos operasi, yakni buruh.

"Jadi, daripada permintaan mereka itu, kita sediakan pinjaman mudah supaya mereka dapat kurangkan kos operasi. Selepas ini, kita akan letakkan satu harga had maksimum di peringkat pengeluaran, borong dan runcit. Jangan risau, biarpun saya baru di kementerian ini, perkara ini sudah lama berlaku dan pegawai kita sangat memahami masalah ini," katanya.

Alaxander berkata, MAFI juga sedang merangka strategi hasil perbincangan dua hala bersama industri, termasuk cadangan membenarkan pengimportan ayam bulat dari loji pemprosesan luar negara yang mendapat pengesahan Jabatan Perkhidmatan Veterinar sebagai langkah sementara bagi meningkatkan bekalan dan menstabilkan harga pasaran.

Menurutnya, kementerian akan memanjangkan tempoh dan memulakan pelaksanaan Skim Kawalan Harga Maksimum Musim Perayaan (SKHMP) lebih awal menjelang perayaan Krismas, dengan tarikh pelaksanaannya akan diumumkan oleh pihak KPDNHEP dalam tempoh terdekat.

"Saya ingin memberikan amaran di sini, supaya tiada pihak yang cuba untuk menaikkan harga lebih awal. Kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mereka yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga kerana kenyataan awal saya ini," katanya.

Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP.
Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 11:50 AM