MAYAT mangsa dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat. FOTO Mohd Roji Kawi
MAYAT mangsa dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi


Kuching: Kanak-kanak austisme yang dilaporkan hilang di Kampung Rantau Panjang, Batu Kawa, di sini, sejak Ahad lalu ditemukan lemas di Sungai Sarawak, hari ini.

Mayat mangsa Muhd Ramadhan Muhd Ridhwan, 8, dijumpai tersangkut pada pukat nelayan, kira-kira lima kilometer dari pos kawalan bomba (PKB) di Kampung Rantau Panjang, 7.20 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang, Raffy Saibi berkata, anggota yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) menaiki bot bergegas ke lokasi penemuan.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke PKB dan disahkan oleh ibu dan bapanya.

"Keadaan mayat ditemui dalam keadaan sempurna tanpa ada sebarang kesan kecederaan," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Mangsa disedari hilang dari kediaman mereka di Kampung Rantau Panjang, Batu Kawa, kira-kira 2 petang, Ahad lalu.

Ketika kejadian itu, mangsa tinggal di rumah bersama ibu saudaranya manakala bapanya keluar berniaga.

BBP Batu Lintang menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 7 malam sebelum sepasukan anggota dikerah ke lokasi bagi melancarkan operasi SAR.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 10:54 AM