GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nuraliawati Sabri


Melaka: Lima notis dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri ini kepada peniaga yang didapati menaikkan harga jualan sayur.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, lima notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) itu dikeluarkan hasil daripada operasi Op Sayur yang dijalankan pasukan penguat kuasa bersama pegawai pemantau.

Beliau berkata, notis itu dikeluarkan agar siasatan lanjut dapat dijalankan untuk mengesan sekiranya wujud elemen pencatutan.

"Kesemua lima notis ini dikeluarkan KPDNHEP sejak Sabtu sehingga hari ini di sekitar daerah Melaka Tengah. Menerusi operasi yang dijalankan kita dapati berlaku kenaikan harga antara enam hingga 66 peratus.

"Ada di antara mereka ini memberi alasan mendapat bekalan daripada pihak ketiga atau keempat menyebabkan barangan jualan dijual dengan harga tinggi.

"Kali ini, kita tidak berkompromi dan dalam masa lima hari mereka perlu memberi maklum balas serta sebab sekiranya gagal tindakan akan diambil," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, bagi mengekang kenaikan harga selain mengelak daripada pihak yang cuba mengambil kesempatan, KPDNHEP menggerakkan seramai 70 anggota penguat kuasa bagi menjalankan pemeriksaan di seluruh negeri.

"Menerusi Op Sayur ini seramai 70 anggota penguat kuasa digerakkan dan setiap hari pemeriksaan mereka akan keluar bermula jam 4 pagi sehingga 10 malam.

"Operasi ini bukan hanya tertumpu di pasar awam atau borong malah pasar raya, kedai runcit dan kedai di kawasan kampung juga turut diperiksa," katanya.

Mengulas lanjut Norena berkata, selain melaksanakan Op Sayur, pihaknya juga turut menjalankan Op Menu bagi mengesan sekiranya terdapat kenaikan harga makanan di restoran atau kedai makan komersial.

"Walaupun tiada sebarang aduan atau rungutan diterima namun pemantauan tetap dijalankan agar harga dapat dikawal lebih awal.

"Sudah pasti sebagai negeri pelancongan Melaka antara destinasi menjadi tumpuan pelancong jadi bagi mengelak berlakunya kejadian tidak diingini kita memantau harga makanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 4:52 PM