FOTO yang tular di media sosial.
FOTO yang tular di media sosial.
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mengeluarkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) terhadap seorang peniaga di sebuah restoran, di sini berhubung penjualan masakan kailan ikan masih pada harga RM18.

Pejabat KPDNHEP dalam satu kenyataan ringkas memaklumkan pegawai penguat kuasa agensi itu sudah melakukan siasatan di restoran terbabit selepas memperoleh maklumat mengenai premis berkenaan.

"Pegawai penguat kuasa KPDNHEP ke lapangan untuk menyiasat aduan pengguna berkaitan 'harga terlalu mahal tidak setara kuantiti yang diberikan' pada hari sama perkara ini tular.

"Satu NPMB bagi makanan kalian ikan masin berharga RM18 diberikan kepada peniaga berkenaan dan peniaga itu perlu memberi maklum balas dalam tempoh dua hari bekerja," katanya.

Semalam, tular di media sosial satu hantaran berserta resit memaparkan harga keseluruhan makanan yang dimuat naik seorang pelanggan restoran itu.

Dalam hantaran itu, individu terbabit terkejut apabila sebungkus kailan ikan masin dijual pada harga RM18.

Menurut petikan hantaran itu, dia sedia maklum dengan kenaikan harga barang mentah dan reda dengan harga ikan jenahak, sayur campur, ulam dan sambal yang dibelinya.

Bagaimanapun, dia sukar menerima kenaikan sebungkus kailan ikan masin untuk seorang makan pada harga RM18 yang ia dianggap terlalu mahal.

Kos keseluruhan makanan yang dibeli individu berkenaan adalah berjumlah RM122, namun dia tidak mendedahkan nama restoran berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 9:22 AM