ZAINI bersama suaminya memegang keladi jenis colocasia midnight dan milky way yang berharga RM10,000 sepokok. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
ZAINI bersama suaminya memegang keladi jenis colocasia midnight dan milky way yang berharga RM10,000 sepokok. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Ahmad Rabiul Zulkifli


Marang: Memiliki koleksi keladi kayangan yang berharga RM10,000 hingga RM35,000 sepokok memang akan membuatkan pemiliknya tidak lena tidur malam memikirkan keselamatan tanaman keladi eksotik yang dimilikinya.

Lebih membimbangkan apabila tular kejadian mencuri keladi kayangan yang semakin menjadi-jadi dan sering dilaporkan di media.

Bagaimanapun, bagi pasangan suami isteri dari Kampung Seberang Marang yang memiliki lebih 100 jenis keladi kayangan, menganggap ancaman kecurian itu sebagai asam garam sebagai peminat pokok hiasan berharga.

Zaini Zakaria, 40, berkata, dia dan suami Mohd Saad Madhsham, 52, aktif menanam pelbagai jenis keladi kayangan sejak 2019 dan berbelanja lebih RM50,000 bagi mengumpul pelbagai jenis keladi eksotik itu.

"Jika bimbang dan tidak sanggup menanggung risiko, memang tidak boleh menceburi kegiatan menanam keladi eksotik itu.

"Modal bagi mengumpul pelbagai jenis koleksi keladi eksotik itu bukan sedikit, tetapi mencapai puluhan ribu ringgit.

"Saya sendiri membeli pokok keladi jenis colocasia midnight dengan harga RM24,000 sepokok, " katanya ketika ditemui Harian Metro di Laman Keladi Zee Mex di sini, semalam.

Tambahnya, keladi lain seperti alocasia golden black stem variegated, mojito, white lava, milky way dan topeng firaun antara koleksi keladi kayangan yang dimilikinya.

"Seperti topeng firaun harga pasaran sekarang antara RM10,000 hingga RM20,000 sepokok untuk pokok matang dan anak pokok dijual pada harga RM5,000 hingga RM8,000 sepokok.

"Istimewanya tanam pokok keladi itu kerana ia boleh dijual mahal daripada benih atau ubinya lagi.

"Ubi atau benih keladi jenis black stan variegated saya beli dengan harga RM18,000 dan anaknya boleh dijual pada harga RM24,000 dan pokok matang pada harga RM38,000 sepokok," katanya.

Menurutnya, koleksi keladi kayangan yang dimiliki semuanya mempunyai permintaan yang tinggi dan pada bila-bila masa boleh dijual.

"Oleh itu, tidak hairanlah penjenayah sekarang menyasarkan pokok keladi eksotik itu berbanding barangan lain.

"Peminat keladi pasti membelinya tanpa banyak soal sekiranya keladi jenis kayangan itu dijual lebih murah daripada harga pasaran semasa," katanya.

Bercerita lagi, katanya, dia sedia maklum mengenai ancaman dan risiko kecurian apabila menanam keladi eksotik itu.

"Bagaimanapun ia bukan alasan kepada saya untuk tidak meneruskan tanaman keladi kayangannya itu.

"Sekarang saya letak kamera litar tertutup (CCTV) di laman keladi bagi mencegah berlaku kecurian," katanya.

Suaminya, Mohd Saad berkata, menjadi tanggungjawab pemilik keladi untuk memastikan tanaman mereka selamat dan tidak dicuri.

"Kita sudah sedia maklum dengan harga dan nilai keladi yang ditanam, oleh itu pemilik perlu meningkatkan tahap keselamatan di laman keladi masing-masing. Sebaiknya sediakan kemudahan CCTV di kawasan laman tanaman keladi supaya kes kecurian dapat dicegah," katanya.

Tambahnya, tanaman keladi lebih menguntungkan daripada perniagaan emas sekarang.

"Bayangkan benih keladi mojito yang dibeli dengan harga RM400 dalam tempoh dua bulan boleh dijual pula pada harga RM700 dan apabila meningkat besar ia dijual pada harga RM1,000 dan ke atas," kataya.

Katanya, dia dan isteri pernah menjual pokok keladi jenis colocasia midnight dengan harga RM38,000 sepokok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 6:01 AM