FOTO hiasan
FOTO hiasan
Nurul Amanina Suhaini
am@hmetro.com.my


Johor Bahru: Seorang lelaki berusia 34 tahun ditemukan maut dengan kesan kelar di leher dalam kejadian di sebuah hotel di bandar raya ini, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam, mangsa dipercayai dikelar oleh dua rakannya menggunakan kunci.

Katanya, kes itu berjaya diselesaikan dalam masa kurang satu jam selepas berlaku, susulan kedua-dua suspek ditahan kira-kira jam 10 malam.

"Hasil siasatan awal dijalankan mendapati kejadian berpunca daripada pergaduhan yang berlaku di premis itu.

"Suspek berusia 23 dan 31 tahun itu ditahan ketika hadir ke Balai Polis Setia Indah, di sini, selain kedua-duanya mempunyai rekod lampau jenayah.

"Hasil siasatan lanjut terhadap tangkapan ini, suspek mengaku membunuh mangsa di tempat kejadian dengan menggunakan kunci," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan reman masing-masing lima dan tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 8:03 PM