GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Asrol Awang


Kuantan: Rakyat negara ini yang berasa layak menerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) boleh mengemukakan permohonan baharu mulai 1 hingga 31 Januari depan.

Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah berkata, permohonan baharu itu bagi memastikan mereka yang layak dan tiada dalam pangkalan data kerajaan menerima bantuan itu.

Katanya, tempoh sebulan itu diharap dimanfaatkan bukan sahaja permohonan baharu, malah kemas kini data untuk memastikan tiada yang tercicir daripada menerima BKM.

"Untuk makluman pembayaran BKM akan dilaksanakan empat kali setahun dan tarikh pembayaran BKM yang pertama dijangka pada Mac 2022.

"Maklumat lanjut berkaitan BKM boleh dirujuk di laman sesawang Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)," katanya.

Beliau berkata kepada media selepas merasmikan majlis penutup Karnival Usahawan dan Koperasi Malaysia di Dewan Besar Paya Besar, di sini, hari ini.

Mohd Shahar berkata, kerajaan sentiasa komited memastikan bantuan yang disediakan menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia.

"Bagi BKM 2022, sejumlah RM8.2 bilion diperuntukkan yang akan memberi manfaat kepada 9.6 juta penerima," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 7:32 PM