Muhammad Daniey Mikhaiel dan Sitong meluangkan masa bersama.
Muhammad Daniey Mikhaiel dan Sitong meluangkan masa bersama.
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: "Sitong (kucing) yang datang pada pada Mikhaiel (anak) dan ajak dia bermain dengan cara gigit-gigit kaki," kata Mariana Alias, 24.

Menurutnya, anaknya, Muhammad Daniey Mikhaiel Mohd Hafizy, 3, dan Sitong memang sangat rapat dan banyak meluangkan masa bersama seperti menonton video di telefon dan Sitong juga tidur suka tidur di sebelah Mikhaiel.

Ketika dihubungi di Kuala Terengganu, Mariana berkata, mereka mula menjaga Sitong ketika kucing berkenaan berusia sebulan dan kini sudah enam bulan bersamanya.

Menurutnya, Mikhaiel sebelum ini hanya bermain kucing di rumah datuknya sahaja dan kucing-kucing memang akan selalu datang dekat anak saya.

"Kami pada awalnya memang tak pernah membela kucing, namun kawan suami saya beri Sitong dan kami pun jaga," katanya.

Sifat penyayang dan aktif Mikhaiel bersama Sitong menerusi perkongsian video di akaun TikTok milik Mariana meraih pelbagai reaksi positif penuh keterujaan oleh netizen.

Kongsi Mariana, ada juga netizen yang bertanya keadaan Mikhaiel selepas bermain bersama kucing peliharaannya.

Katanya, anaknya itu tidak mempunyai masalah alergik atau gatal-gatal biarpun bermain dengan aktif bersama Sitong.

"Melihat cara anak bermain pun, orang selalu tanya apa yang kami bagi makan pada kucing dan Sitong tak cakar Mikhaiel.

"Sitong langsung tak cakar dan tak buka kuku ketika bermain dengan MIkhaiel, kalau dengan saya memang akan cakar juga," kongsinya.

Ibu kepada dua anak ini berkata, Mikhaiel bukan hanya mesra dan sayangkan Sitong sahaja, namun juga dengan kucing jalanan yang datang ke rumah.

Menurutnya, anaknya itu akan memeluk dan kucing akan hanya membiarkan sahaja cara Mikhaiel bermain dengan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 4:55 PM