HASNI ketika menggulung Belanjawan Johor 2022 pada Sidang Keempat DUN Johor Ke-14. FOTO BERNAMA
HASNI ketika menggulung Belanjawan Johor 2022 pada Sidang Keempat DUN Johor Ke-14. FOTO BERNAMA
Mohamed Farid Noh

Iskandar Puteri: Keluasan tanah rizab Melayu di Johor kini menjangkau seluas 557,633 hektar atau 30 peratus daripada keluasan tanah negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, tidak berlaku penyusutan atau pengurangan tanah rizab Melayu malah keluasannya sentiasa bertambah disebabkan penyeliaan dan dasar yang dilakukan oleh kerajaan negeri selama ini.

Katanya, jika terdapat permohonan bagi pembatalan sesuatu tanah rizab Melayu, ia perlu ada tanah ganti yang mematuhi tiga syarat iaitu keluasan dan nilaian tanah gantian itu mesti sama atau lebih daripada tanah yang hendak dibatalkan.

"Tanah gantian itu juga hendaklah sesuai dan memenuhi material dan praktikal sebelum sesuatu permohonan untuk membatalkan status rizab Melayu ini boleh di pertimbangkan.

"Kerajaan Johor juga mengenakan syarat iaitu mana-mana tanah yang dikurniakan kepada orang Melayu hendaklah dijadikan sebagai tanah Rizab Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Belanjawan Johor 2022 pada Sidang Keempat DUN Johor Ke-14 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, bagi memastikan tanah yang dimohon untuk dijadikan sebagai Rizab Melayu dan tanah kurniaan yang disyaratkan dijadikan tanah rizab Melayu, proses pewartaan akan dijalankan sebanyak tiga kali.

"Bagi memastikan tanah ini tidak berlaku urus niaga kepada orang bukan Melayu, semasa proses pewartaan belum disempurnakan, satu kaveat pendaftar akan dimasukkan sebagai kawalan dan hanya akan dibatalkan selepas pewartaan disempurnakan sepenuhnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 3:01 PM