GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Kerajaan perlu memberikan tumpuan lebih kepada suntikan vaksin kepada pelajar sekolah menengah dan guru bagi memastikan sesi pembelajaran bersemuka dijalankan secara menyeluruh.

Itulah cadangan yang dikemukakan oleh Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) ketika ditanya berkenaan ujian saringan Covid-19 mingguan secara bergilir kepada murid sekolah rendah.

Menurut Presiden PIBGN Datuk Mohamad Ali Hasan, kerajaan perlu mempertimbangkan semula usaha terbabit kepada murid sekolah.

"Bagaimana penggiliran terbabit akan dijalankan dan siapa yang akan memastikan penggiliran terbabit dijalankan secara adil?

"Saranan saya, adalah lebih baik sekiranya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pendidikan menyakinkan ibu bapa dahulu sebelum menjalankan inisatif yang dicadangkan," katanya.

Bagi surirumah, Hanisah Hanifah, 41, usaha kerajaan dalam membuat saringan Covid-19 mingguan secara bergilir kepada murid sekolah rendah perlu dikaji semula.

"Inisiatif berkenaan ada bagusnya, namun bagi saya ada juga kekurangan dari segi pembelajaran anak-anak.

"Sekiranya menggunakan kit ujian kendiri Covid-19 mungkin sesuai, namun tidak sesuai jika ujian Rapid Test Kit (RTK) antigen dijalankan," katanya.

Katanya, anak-anak akan takut untuk pergi ke sekolah kerana mereka harus menjalani ujian RTK antigen terlebih dahulu.

Sementara itu, ibu kepada tiga orang anak, Nurmustaqimah Mohamed Noordin, 31, turut menyarankan kerajaan supaya mempertimbangkan semula ujian saringan Covid-19 kepada murid sekolah rendah.

"Ia bergantung kepada ujian yang dijalankan, sekiranya menggunakan kit ujian kendiri mungkin boleh, namun ia akan membabitkan kos kepada ibu bapa pula.

"Bagaimanapun, ia melibatkan tanggungjawab semua pihak dan ibu bapa perlu memantau kesihatan anak-anak sebelum menghantar ke sekolah," katanya.

Nurmustaqimah berkata, semua pihak memainkan peranan dalam menangani wabak Covid-19 dan perlu sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang pandemik ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 1:50 PM