GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memastikan harga barangan keperluan asas dapat distabilkan menggunakan mekanisma tertentu.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, berikutan itu pihaknya juga sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Kewangan (MOF) serta pihak berkepentingan berkaitan isu kenaikan harga barangan seperti sayur, ayam dan telur.

"Usaha penyaluran bantuan kewangan bagi menyerap peningkatan kos di peringkat pengeluar dan pemborong juga sudah dirangka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan seluruh negara menyaksikan peningkatan harga barangan keperluan harian, peralatan binaan, input pertanian dan makanan yang memberi kesan kepada pelbagai pihak di peringkat pembekal, kontraktor, peniaga serta pengguna.

Alexander berkata, fokus untuk menstabilkan harga barangan itu dilaksanakan oleh kementeriannya selepas tiga Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang digariskan oleh KPDNHEP sudah melakar pencapaian 100 peratus.

Tiga KPI itu membabitkan isu berkaitan Sarawak iaitu pengecualian menggunakan Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 dan Akta Kawalan Bekalan (CSA) 1961; menurunkan harga kit ujian pantas (RTK) antigen dan memastikan kemampanan industri francais.

Mengenai penurunan harga kit RTK, Alexander berkata, ia selari dengan usaha ke arah membuka lebih banyak sektor ekonomi berteraskan pendekatan yang selamat dengan menggalakkan saringan secara kendiri dapat dilaksanakan dalam kalangan komuniti.

"Justeru, beberapa langkah strategik, termasuk memperluaskan penjualan kit RTK antigen kepada rangkaian premis peruncitan dan penetapan harga siling sudah dilaksanakan.

"Cakna dengan keluhan pengguna, terutama dalam kalangan B40 dan M40, kerajaan menerusi KPDNHEP bertekad untuk melipat gandakan usaha supaya harga RTK antigen ini dikurangkan lagi dan mampu dimiliki oleh semua ahli Keluarga Malaysia.

"Bersandarkan rundingan dan kerjasama antara KPDNHEP serta pengusaha perniagaan, harga RTK antigen secara kendiri didapati merekodkan penurunan dua kali dalam tempoh kurang dua bulan, sejak harga siling dikuatkuasakan September lalu," katanya.

Beliau berkata, kejayaan berkenaan selaras Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang digariskan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan ia adalah satu daripada tiga KPI kementerian.

"Kini, RTK antigen boleh didapati di premis peruncitan pada harga serendah RM4.90, iaitu pengurangan sebanyak 87.7 peratus berbanding harga asal iaitu RM39.90, ketika peranti ini mula dijual di pasaran.

"Susulan impak faktor persaingan, lambakan RTK antigen yang dijual di pasaran sehingga menjangkau 83 jenama dan pengeluar (berdasarkan maklumat Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) setakat 24 November 2021), maka KPDNHEP mengambil pendirian bahawa tiada keperluan untuk menetapkan harga siling bagi peranti ini.

"Apa yang dilakukan ini bukanlah langkah 'u-turn' atau 'patah balik', sebaliknya apabila Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi MDA dan KPDNHEP merintis kerjasama, banyak syarikat pengimport RTK ini membawa bekalan masuk serta memberi pilihan yang amat meluas kepada pengguna," katanya.

Alexander berkata ia secara tidak langsung meningkatkan persaingan dan akhirnya mencetuskan kesan domino yang menyaksikan harga RTK antigen mampu dikurangkan sehingga ke paras harga mampu milik.

"Asas lain di sebalik keputusan KPDNHEP ini ialah sekiranya harga siling masih terus ditetapkan, ia dikhuatiri mengundang manipulasi di peringkat pengedaran dan penjualan kepada pengguna.

"Berkemungkinan, premis atau pihak yang menjual di bawah paras harga siling, boleh mengambil keputusan untuk menaikkan harga, memandangkan masih ada margin harga jualan untuk mereka berbuat demikian.

"Oleh itu, bersandarkan persaingan hebat ketika ini antara pembekal RTK antigen di pasaran, KPDNHEP menaruh kepercayaan bahawa mereka akan terus menurunkan harga yang ditawarkan kepada pengguna. Kementerian akan terus memantau perkara ini secara berkala," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 10:26 AM