ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Rantau Panjang membuat tinjauan berkala ke kawasan rendah yang dilanda banjir untuk memberi nasihat kepada orang ramai agar tidak bermain air bagi mengelak insiden yang tidak diingini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Rantau Panjang membuat tinjauan berkala ke kawasan rendah yang dilanda banjir untuk memberi nasihat kepada orang ramai agar tidak bermain air bagi mengelak insiden yang tidak diingini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Ahmad Hasbi


Seremban: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan melakukan penjadualan semula cuti anggota dan pegawainya dengan hanya 10 peratus keanggotaan sahaja dibenarkan untuk bercuti bagi menghadapi musim tengkujuh.

Pengarahnya, Hamdan Ali berkata, pihaknya juga dalam keadaan bersiap sedia untuk menghantar pasukan bantuan ke negeri yang teruk dilanda bah terutama di pantai timur sekiranya diperlukan.

"Hanya 10 peratus sahaja daripada anggota di balai dan 20 peratus bagi pegawai di setiap bahagian yang dibenarkan cuti pada satu-satu masa. Bagaimanapun, mereka akan dipanggil pada bila-bila masa jika ada keperluan.

"Sebenarnya kita dari segi persediaan, JBPM Negeri memang sudah dalam keadaan bersiap siaga untuk menghadapi musim tengkujuh.

"Namun, berdasarkan keadaan sebelum ini keadaan banjir di negeri ini tidak teruk dan hanya membabitkan banjir kilat," katanya ketika ditemui.

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya mempunyai pasukan yang boleh digerakkan pada bila-bila masa sekiranya keadaan kritikal termasuk memanggil anggota dan pegawai yang bercuti.

"Buat masa ini pihak kami belum menerima sebarang permohonan untuk bantuan di negeri lain. Jika sebelum ini kami menghantar bantuan ke Kelantan dan Terengganu dan memang JBPM Negeri Sembilan adalah hab bantuan ke negeri lain.

"Namun, kami sudah mengenalpasti pegawai dan anggota untuk dihantar ke negeri pantai timur sekiranya diperlukan pada bila-bila masa. Aset seperti lori, kenderaan pacuan empat roda dan bot juga berada dalam keadaan bersiap sedia," katanya.

Katanya, keadaan pada kali ini lebih mencabar kerana negara masih lagi dilanda Covid-19 dengan pelaksanaan beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi.

"Beberapa perkara perlu diambil kira seperti penggunaan kelengkapan perlindungan diri (PPE) ketika operasi, pengasingan mangsa banjir yang positif dan saringan Covid-19 terhadap mangsa sebelum dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 9:42 AM