Mahdzir (kanan) beramah mesra bersama peserta Forum Sahabat Komuniti Desa (SKOD) di IKBN Naka, di Padang Terap. Foto Noorazura Abdul Rahman
Mahdzir (kanan) beramah mesra bersama peserta Forum Sahabat Komuniti Desa (SKOD) di IKBN Naka, di Padang Terap. Foto Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Padang Terap: Sebarang usaha untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) hanya sesuai dilakukan selepas kes Covid-19 di negara ini berjaya dilandaikan.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pada ketika ini semua pihak perlu memberi fokus untuk membangunkan ekonomi negara selepas lebih dua tahun 'berperang' dengan wabak berkenaan.

"Saya kira elok kita landaikan lagi Covid-19 kerana terdapat pelbagai masalah melanda negara dalam tempoh dua tahun ini. Lagi pun sekarang ini kita dalam usaha memulihkan ekonomi yang terjejas.

"Dua perkara ini perlu diberi penekanan dan selepas itu kalau keadaan dah selesa, eloklah kita fikirkan nak buat PRU," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Forum Sahabat Komuniti Desa (SKOD) di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, menggesa supaya PRU-15 dipertimbangkan untuk diadakan dalam masa terdekat mengambil kira sentimen rakyat ketika ini yang dilihat memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Beliau juga ada menyuarakan perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebaik sahaja BN memenangi PRN Melaka.

Namun semalam Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan, Kementerian Kesihatan berpandangan tidak sesuai untuk PRU-15 diadakan dalam tempoh terdekat memandangkan penularan kes Covid-19 di negara ini masih membimbangkan selain berdepan peningkatan kadar kemasukan ke hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 6:52 PM