TERMINAL Bas Larkin Sentral bersedia beroperasi bagi menyambut mereka yang tiba menerusi VTL-Land. FOTO Arkib NSTP
TERMINAL Bas Larkin Sentral bersedia beroperasi bagi menyambut mereka yang tiba menerusi VTL-Land. FOTO Arkib NSTP
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Rakyat Malaysia yang berada di Singapura boleh menggunakan portal MySafeTravel, bagi memudahkan menguruskan perjalanan masuk ke negara ini.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menerusi Twitter beliau memaklumkan, portal itu sudah boleh digunakan.

"Anda boleh mendaftar untuk Laluan Perjalanan Vaksinasi Darat (VTL-Darat) untuk Malaysia dan Singapura.

"Semoga rakyat Malaysia yang terpisah berbulan-bulan lamanya dapat bersatu dan bertemu semula," katanya.

Pendaftaran VTL-Darat boleh dibuat di portal di www.mysafetravel.gov.my.

Selain bertujuan memudahkan perjalanan mereka yang masuk ke Malaysia, portal itu turut memberikan maklumat terperinci mengenai perjalanan masuk ke negara ini dan maklumat berdasarkan perkembangan semasa.

tamat

Kelmarin, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan selain pekerja, VTL-Land turut memberi peluang kepada rakyat Malaysia dan Singapura di kedua-dua negara yang terpisah dengan keluarga akibat Covid-19 untuk bertemu semula dengan orang tersayang.

Inisiatif VTL-Land dilaksanakan untuk melancarkan pergerakan merentas sempadan tanpa kuarantin yang menintegrasikan protokol kesihatan, keselamatan dan kelulusan imigresen.

Pelancaran VTL-Land adalah selari dengan VTL-Air yang bertujuan untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala dan ekonomi antara kedua-dua negara.

Sehingga kini, Malaysia dan Singapura sudah mencapai lebih daripada 95 peratus kadar populasi dewasa yang divaksin.

Dijangkakan seramai 1,440 individu akan masuk ke negara ini pada minggu pertama laluan VTL-Land yang akan dilaksanakan serentak dengan VTL-Air pada Isnin ini.

Selain itu, Terminal Bas Larkin Sentral, turut bersedia beroperasi bagi menyambut mereka yang tiba menerusi VTL-Land.

Ketibaan pertama bas pada Isnin ini dijadualkan pada jam 8.50 pagi dengan kapasiti 45 penumpang, manakala jangkaan bas terakhir tiba selewat-lewatnya jam 9.30 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 3:16 PM