GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan Arab Saudi pada Jumaat memutuskan untuk menyekat penerbangan masuk dari tujuh negara benua Afrika berikutan kemunculan varian baharu Covid-19.

Negara yang tersenarai dalam sekatan perjalanan adalah Afrika Selatan, Namibia, Botswana, Zimbabwe, Mozambique, Lesotho, dan Eswatini.

Agensi Berita Arab Saudi (SPA) yang memetik kenyataan Kementerian Dalam Negeri Saudi (MOI), melaporkan penerbangan komersial dan persendirian dari kesemua negara terbabit akan disekat berkuat kuasa tengah hari Jumaat waktu tempatan.

Selain itu, pengembara bukan rakyat Arab Saudi yang datang melalui negara-negara tersenarai juga dilarang memasuki negara ini.

"Warga asing yang tiba dari kesemua negara terbabit tidak dibenarkan masuk ke Arab Saudi," menurut kenyataan itu,

Bagaimanapun, pengecualian diberi kepada pengembara yang telah menghabiskan tempoh tidak kurang daripada 14 hari di negara lain dan prosedur kesihatannya diiktiraf kerajaan Arab Saudi.

"Pengecualian itu juga tertakluk kepada syarat prosedur kuarantin selama lima hari oleh Kerajaan Arab Saudi dan dipantau pihak berkuasa kesihatan.

"Mereka yang datang daripada negara-negara tersebut termasuk rakyat Arab Saudi tanpa mengira status imunisasi juga tertakluk kepada prosedur kuarantin itu," menurut kementerian.

Spa Melaporkan Semua Prosedur Dan Langkah Pencegahan Tertakluk Kepada Penilaian Berterusan Pihak Berkuasa Kesihatan Arab Saudi Berdasarkan Perkembangan Situasi Pandemik Covid-19 Global.

Kementerian turut menasihati rakyatnya agar menangguhkan sementara perjalanan tidak penting ke negara berkenaan sehingga diberitahu kelak.

Semalam beberapa agensi media dunia melaporkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengeluarkan amaran mengenai penularan varian baharu Covid-19 yang dikesan di Afrika Selatan.

Berikutan itu, Kesatuan Eropah (EU) dan Britain telah mengetatkan kawalan sempadannya, sementara saintis sedang menjalankan penyelidikan untuk mengenal pasti sama ada vaksin sedia ada kebal terhadap varian itu atau sebaliknya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 12:36 PM