GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Satu laporan dibuat seorang pegawai polis dari Balai Polis Sungai Senam mengenai sekeping gambar tular di sosial media yang berunsur fitnah, berhubung kejadian pergaduhan yang berlaku sehingga menyebabkan kematian di Jalan Ashby di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya mengesan sekeping gambar di tempat kejadian disebarkan di sosial media, sehingga mendapat perhatian masyarakat umum yang memaparkan tindakan pegawai polis dari Balai Polis Sungai Senam di sini, meleraikan kejadian pergaduhan berkenaan.

Beliau berkata bertindak atas maklumat orang awam polis telah bergegas ke tempat kejadian dan berjaya meleraikan pergaduhan itu sebelum tangkapan terhadap tiga suspek dilakukan di tempat kejadian dan kesemua mereka dibawa ke balai polis.

"Walau bagaimanapun, gambar yang ditularkan memperlihatkan seolah-olah pihak polis tidak meleraikan pergaduhan itu.

"Tindakan pemilik akaun laman sosial media berkenaan mengeluarkan menyataan berunsur negatif ​​tanpa mengetahui fakta sebenar adalah amat tidak bertanggungjawab dan dikesali," katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Yahaya berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta siasatan dan pengesanan terhadap individu-individu yang merakam gambar kejadian itu sedang dijalankan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar serta membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

"Perbuatan menyebarkan kenyataan tidak benar dan tohmahan tidak berasas, melalui kaedah tular di sosial media hingga menyebabkan kegusaran dalam kalangan masyarakat dikhuatiri akan menjejaskan reputasi dan kredibiliti Polis Diraja Malaysia," katanya.

Tiga bersaudara berusia 34 hingga 60 tahun, direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki yang maut dipercayai akibat dicekik dalam pergaduhan di hadapan sebuah warung di Pasar Pagi Flat Ashby, Sungai Senam di sini semalam.

Kelmarin, seorang lelaki berusia 29 tahun maut dipercayai akibat dicekik semasa bergelut dalam pergaduhan dengan tiga lelaki kerana dikatakan mencuri 'portable speaker'.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 9:58 PM