CHOW Kon Yeow. FOTO Ong Mikail
CHOW Kon Yeow. FOTO Ong Mikail
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Kerajaan Pulau Pinang sekali lagi membentangkan belanjawan defisit berjumlah RM449.8 juta.

Ia selepas jangkaan kutipan hasil negeri tahun hadapan berjumlah RM485.42 juta, manakala perbelanjaan mengurus pula adalah RM935.22 juta.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, disebabkan itu Belanjawan 2022 bagi Pulau Pinang adalah defisit yang mana ia akan dibiayai melalui Simpanan Terkumpul Negeri berbaki RM887.78 juta pada akhir tahun ini.

"Kerajaan negeri tidak menafikan bahawa amaun defisit ini adalah tinggi, namun optimis bahawa kutipan hasil negeri akan dapat ditingkatkan semula dengan langkah-langkah pemulihan ekonomi yang diambil kerajaan negeri dan Persekutuan.

"Ini kerana, kerajaan negeri bersiap sedia dengan strategi bagi meningkatkan hasil seiring dengan pemulihan ekonomi, selain berusaha untuk mengurangkan tunggakan hasil melalui beberapa langkah yang disusun dan diatur membabitkan jabatan negeri," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2022 Negeri Pulau Pinang dalam sidang Dewan Undangan Negeri (Dun), di sini, hari ini.

Katanya, belanjawan yang bertemakan 'Mempercepat Pencapaian Penang 2030' itu adalah untuk perbelanjaan bekalan membabitkan 20 jabatan dan perbelanjaan tanggungan membabitkan tiga jabatan mengikut undang-undang di bawah Kumpulan Wang Disatukan.

Dalam pada itu, Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata, perbelanjaan mengurus bagi tahun hadapan meningkat sebanyak 25.4 juta atau kenaikan 2.79 peratus berbanding tahun lalu.

"Antara sebab peningkatan di bawah bajet mengurus ini adalah kerana kenaikan emolumen tahunan, pemberian geran kepada anak syarikat kerajaan negeri, pelaksanaan pelan pemulihan pasca pandemik Covid-19 dan lain-lain.

"Ditambah pula pada tahun hadapan, kerajaan negeri menganggarkan hasil negeri yang dikutip adalah RM485.42 juta iaitu berkurangan RM20.6 juta atau 4.07 peratus.

"Anggaran hasil ini adalah kurang kerana kerajaan negeri berhati-hati dalam menetapkan jangkaan hasil pada tahun hadapan dengan mengambil kira kesan pandemik Covid-19 yang masih belum reda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 7:24 PM