Ahmad Faizal (dua dari kiri) dan Jufitri (dua dari kanan) mengadakan pertemuan di KBS hari ini. FOTO IHSAN PEMBACA
Ahmad Faizal (dua dari kiri) dan Jufitri (dua dari kanan) mengadakan pertemuan di KBS hari ini. FOTO IHSAN PEMBACA
Samadi Ahmad


Putrajaya: Menteri Belia dan Sukan (KBS), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersetuju mengadakan pertemuan bersama 41 gabungan belia di bawah Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi membincangkan isu menghadkan umur individu memegang jawatan dalam persatuan belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

Presiden MBM, Jufitri Joha berkata, sebarang keputusan berkenaan kepentingan gerakan belia perlu dibincangkan terlebih dahulu secara bersama-sama bersesuaian dengan Semangat Keluarga Malaysia.

Menurutnya, MBM tidak ada halangan sekiranya KBS mahu melaksanakan had umur berkenaan, namun ia tidak perlu dilakukan secara terburu-buru memandangkan masih banyak persatuan belia yang kurang jelas berkenaan pelaksanaan itu.

Katanya, persatuan belia tidak diberi peluang untuk berbincang dan bertemu dengan pihak kementerian untuk memberi idea bagi pelaksanaan had umur berkenaan.

"MBM mencadangkan had umur belia memegang jawatan dari 40 ke 30 tahun itu dilewatkan ke tahun 2023 supaya persatuan belia dapat membuat persiapan dari segi memantapkan jumlah ahli dan mengetengahkan ketua yang benar-benar berpotensi untuk menerajui sesebuah persatuan," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Ahmad Faizal di KBS di sini, tadi.

Turut hadir, Timbalan Presiden MBM, Muhd Fadzli Hasan dan Setiausaha Agungnya, Hasnul Haniff Harun.

Pada 17 November lalu, Ahmad Faizal melalui ucapannya di Parlimen menghadkan umur mana-mana individu untuk memegang jawatan dalam persatuan belia daripada 40 ke 30 tahun bermula 1 Januari tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 6:33 PM