HISHAMUDDIN. FOTO Omar Ahmad
HISHAMUDDIN. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad

Johor Bahru: Kerajaan digesa menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau dan mengawal kenaikan harga barang yang agak tinggi ketika ini.

Tinjauan di Johor Bahru mendapati, rata-rata penduduk yang ditemui sama ada peniaga mahupun isi rumah berpandangan kenaikan harga barang kali ini begitu ketara dan tindakan segera perlu diambil.

Peniaga burger Hishamuddin Hamidon, 43 berkata, jika dibandingkan kenaikan harga barang sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hanya satu atau dua barangan sahaja yang naik.

Namun, katanya, kali ini hampir kesemua harga barang termasuk ayam, sayuran, telur dan barangan seperti majerin naik sehingga 50 sen.

"Harga barang naik terlalu tinggi, satu pek daging burger ada enam keping sebelum ini harga RM5.90, sekarang RM6.50.

"Majerin pun sama sebelum ini harga satu kilogram RM6.90, sekarang ni RM7.40, ditambah pula dengan kesukaran dapatkan minyak masak paket, memang membebankan kami," katanya ketika ditemui di Kampung Melayu Majidee, di sini, hari ini.

Sementara itu, penghantar barangan Mohd Hairi Mohd Yusof, 41, berkata, perbelanjaan keluarganya meningkat sekali ganda dengan kenaikan harga barangan.

Katanya, kerajaan perlu bertindak tegas kerana keadaan itu jika berpanjangan amat membebankan keluarga B40 sepertinya.

"Saya ada tiga anak berusia 6 hingga 13 tahun, anak sedang membesar. Sebelum ini perbelanjaan dalam RM150 seminggu untuk beli lauk termasuk sayuran, ayam, daging, ikan dan buah.

"Tetapi sudah dua minggu kebelakangan ini, perbelanjaan mingguan saya mencecah RM300 untuk beli barangan yang sama. Saya pernah beli ayam seekor hampir dua kilogram, harga cecah RM20," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 1:05 PM