GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my


Kota Bharu: Tiga faktor utama dikenal pasti menjadi penyebab penolakan vaksin Covid-19 di Kelantan termasuk takut dengan kesan sampingan yang boleh mengakibatkan maut.

Ketua Penyelaras Pusat Pemberian Vaksin Khas (SPPV), Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Mohd Imran Yusof, berkata selain itu, kurang keyakinan dan mendakwa vaksin itu dihasilkan dalam masa singkat turut menyumbang kepada penolakan.

Katanya, faktor berkenaan diperoleh berdasarkan soal selidik yang dilakukan membabitkan 7,000 sampel.

"Soal selidik berkenaan dilakukan sejak Mac sehingga kini. Hasil soal selidik berkenaan, kita mengenal pasti tiga faktor penolakan rakyat Kelantan terhadap vaksin," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya, sejak SPPV Hospital USM mula beroperasi pada Mac lalu, ia mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan kakitangan, pelajar serta orang ramai yang datang untuk mendapatkan suntikan vaksin.

"SPPV Hospital USM menerima bekalan vaksin melebihi 50,000 dos dan hampir 30,000 penerima sudah mendapat suntikan.

"Bagi merancakkan lagi proses pemberian vaksin, SPPV Hospital USM turut bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menerusi program 'KPT prihatin, Komuniti Sejahtera' (KRIS).

"Melalui kerjasama ini, pasukan vaksin SPPV Hospital USM turun padang ke pusat tahanan iaitu Penjara Pengkalan Chepa dan Penjara Pasir Mas, selain Sekolah Agama di bawah seliaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) serta Pusat Asuhan Kanak-kanak Spastik bagi memudahkan mereka yang layak menerima suntikan vaksin," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Imran berkata, sehingga kini, SPPV Hospital USM masih beroperasi dan dibuka kepada mana-mana individu yang berminat untuk mendapatkan suntikan vaksin dos penggalak atau 'booster'.

"Suntikan vaksin dos penggalak ini tidak diwajibkan untuk semua tetapi pemberian suntikan ini lebih memfokuskan kepada pasukan petugas barisan hadapan, warga emas berumur 60 tahun ke atas dan mereka yang berumur 18 tahun ke atas.

"Ini disebabkan mereka adalah golongan yang lebih terdedah kepada risiko jangkitan dan lebih 3,000 kakitangan di Kampus Kesihatan sudah mendapatkan suntikan dos penggalak atas kesedaran mereka sendiri setelah melihat situasi Covid-19 di seluruh dunia dan mereka merasakan perlu untuk mendapatkan dos ini bagi meningkatkan imuniti mereka," katanya.

Mengulas mengenai penerima yang sudah lengkap vaksinasi masih dijangkiti Covid-19, beliau menegaskan bahawa vaksin bukanlah ubat yang boleh menyembuhkan pesakit Covid-19.

"Kita perlu tahu, vaksin bukan ubat tetapi ia bertindak sebagai penghalang atau penebat yang boleh mengurangkan keterukan penyakit, mengurangkan kadar hospitalisasi iaitu masuk ke wad dengan kadar jangkitan di tahap empat dan lima, tidak perlu bantuan pernafasan dan ia juga mampu mengurangkan kadar kematian dalam kalangan pesakit.

"Saya ingin menasihatkan kepada mereka yang masih belum mendapatkan vaksinasi supaya mendaftar menerusi pelbagai saluran yang disediakan kerana vaksinasi adalah tanda kita bertanggungjawab bukan sahaja kepada keselamatan diri sendiri, malahan kesejahteraan orang di sekeliling kita," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 11:29 AM