GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Mamat


Ayer Keroh: Istiadat Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia bagi Ahli Exco negeri akan diadakan petang esok.

Menerusi surat edaran Jabatan Ketua Menteri Melaka yang ditandatangnai Ketua Penolong Setiausaha Kanan Kerajaan, Unit Dewan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Datuk Haelmy Mohd Hanifah memaklumkan, istiadat berkenaan akan dibuat di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, kira-kira jam 2.30 petang.

Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu lalu turut diundang ke istiadat berkenaan.

Turut diundang, enam Ahli Parlimen iaitu Datuk Seri Ahmad Hamzah (Jasin), Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (Alor Gajah), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (Hang Tuah Jaya), Khoo Poay Tiong (Kota Melaka) dan Rusnah Aluai (Tangga Batu) serta dua Ahli Dewan Negara iaitu Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dan Datuk Koh Nai Kwong.

Sekurang-kurangnya 10 Adun BN dijangka dilantik sebagai Exco negeri.

Mereka termasuklah Adun Paya Rumput, Datuk Rais Yasin; Adun Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar; Adun Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin; Adun Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Adun Serkam, Datuk Zaidi Attan; Adun Asahan, Fairul Nizam Roslan serta Adun Gadek, VP Shanmugam.

Sementara itu, Adun Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman serta Adun Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis adalah penyandang yang dijangka dilantik semula, selain menyaksikan Adun Kelebang, Datuk Lim Ban Hong yang pernah dilantik menganggotai pentadbiran negeri pada 2013 sehingga 2018, kembali menjawat jawatan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 10:54 PM