Wisma Putra. FOTO hiasan
Wisma Putra. FOTO hiasan
Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my


Kuala Lumpur: Kementerian Luar sedang memantau rapat perkembangan terkini di Ethiopia.

Ini kerana susulan konflik bersenjata antara Angkatan Pertahanan Nasional Ethiopia dan Gerakan Pembebasan Rakyat Tigray (TPLF).

Kementerian Luar menerusi satu kenyataan menjelaskan menurut Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum, Sudan, terdapat empat rakyat Malaysia yang berada di Ethiopia dan berdaftar dengan Kedutaan, berada dalam keadaan selamat.

"Pegawai-pegawai kedutaan sentiasa berhubung rapat dengan mereka. Mereka dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan masing-masing, serta menimbangkan untuk meninggalkan Ethiopia menerusi penerbangan komersial yang masih beroperasi.

"Selain itu, rakyat Malaysia yang berhasrat untuk melakukan lawatan ke Ethiopia juga dinasihatkan untuk menangguhkan sebarang perjalanan yang tidak mustahak buat masa ini," kata kenyataan itu, hari ini.

Sehubungan itu rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular di Ethiopia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum, menerusi saluran seperti Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum di talian telefon +249 99 070 0350 atau emel kepada mwkhartoum@kln.gov.my.

Maklumat juga boleh didapati di media sosial @Malawakil.Khartoum (Facebook) @MYEmbKhartoum (Twitter).

Selain itu talian Wisma Putra adalah 03-88874201 / 4530 (waktu pejabat) dan 03-88874570 (selepas waktu pejabat).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 9:00 PM