Rashidilhadi  Abd Rashid (kiri) menyampaikan risalah kemalangan di laut ketika bertemu dengan komuniti nelayan di Kerteh. FOTO Rosli Ilham
Rashidilhadi Abd Rashid (kiri) menyampaikan risalah kemalangan di laut ketika bertemu dengan komuniti nelayan di Kerteh. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Chukai: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesan segelintir nelayan degil apabila tidak memakai jaket keselamatan ketika berada di laut.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, perkara itu dikesan ketika pihaknya membuat pemeriksaan ke atas bot nelayan yang menangkap ikan di laut.

"Aspek pemakaian jaket keselamatan ini sangat penting dan setakat ini, kami hanya memberi teguran dan nasihat kepada nelayan terbabit.

"Selain jaket keselamatan, kami turut memeriksa pematuhan syarat lesen seperti penyediaan pelampung keselamatan termasuk alat pemadam api, "katanya.

Sebelum itu, beliau melancarkan kempen keselamatan di laut sempena Monsun Timur Laut bersama komuniti nelayan di Kuala Kerteh, semalam.

Rashidilhadi berkata, pihaknya giat mengadakan kempen bertemu dengan komuniti nelayan di seluruh negeri Terengganu.

Menurutnya, pihaknya menyampaikan risalah berhubung tata cara keselamatan di laut bagi mengelak nelayan terbabit dengan bencana yang boleh mengorbankan nyawa serta kehilangan harta benda.

"Kami turut meminta bantuan nelayan untuk menyalur maklumat apabila terdapat aktiviti jenayah dan perlanggaran undang-undang di tengah laut.

"Golongan nelayan dinasihatkan tidak turun ke laut memandangkan keadaan cuaca kebelakangan ini berombak besar dan ribut yang dijangka berakhir Februari tahun depan.

"Sepanjang Januari hingga September tahun ini, kami terlibat dengan usaha mencari dan menyelamat membabitkan 17 kes dan tiga kes membabitkan kematian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 8:45 PM