Mior Faridalathrash ketika meninjau kempen derma darah yang diadakan bersempena program High Profile Policing (HPP) Sempena Kempen Pencegahan Jenayah Komersial (Jenayah Dalam Talian) tahun 2021 di Pasaraya AEON Kinta City, di sini, hari ini.  FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Mior Faridalathrash ketika meninjau kempen derma darah yang diadakan bersempena program High Profile Policing (HPP) Sempena Kempen Pencegahan Jenayah Komersial (Jenayah Dalam Talian) tahun 2021 di Pasaraya AEON Kinta City, di sini, hari ini. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Polis melihat tiada keperluan untuk membuka kertas siasatan di bawah orang hilang membabitkan kes anak perempuan kepada guru Tadika, M Indira Ghandi, yang pada mulanya dilaporkan dibawa lari oleh bekas suami wanita itu, 12 tahun lalu.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, bahkan pihaknya masih belum menerima laporan daripada wanita itu yang sebelum ini dilaporkan meminta supaya kes berkenaan diklasifikasikan semula sebagai orang hilang.

"Belum lagi (terima laporan) tetapi saya ada baca laporan akhbar serta portal atas talian yang mana dia (Indira) minta polis percepatkan klasifikasi sebagai kes orang hilang.

"Kini usaha mengesan kedua-dua individu terbabit (anak perempuan dan bekas suami Indira) masih diteruskan. Siasatan sudah dibuat sebelum ini ke atas kejadian itu, jadi saya tidak nampak ada keperluan untuk membuka kes sebagai orang hilang.

"Kita sekarang pun dalam usaha mengesan bekas suami dan anaknya yang dilaporkan hilang itu," katanya pada sidang media Kempen Pencegahan Jenayah Komersial (Jenayah Dalam Talian) Tahun 2021 di pusat membeli-belah Aeon Kinta City di sini, hari ini.

Minggu lalu, Indira melalui Pengerusi Indira Gandhi Action Team (Ingat) Arun Dorasamy, pada sidang media di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini, meminta polis menyiasat kes anak perempuan Indira, Prasana Diksa, 13, yang dibawa lari bekas suaminya yang memeluk Islam pada 2009, sejak 12 tahun lalu, diklasifikasikan semula sebagai kes kanak-kanak hilang.

Arun berkata, penetapan klasifikasi semula kes sebagai kanak-kanak hilang itu penting untuk memudahkan proses kerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol).

Ia memandangkan bekas suami Indira yang kini menukar nama kepada Muhammad Riduan Abdullah disyaki menetap di selatan Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 7:08 PM